KUALA LUMPUR: “Apa yang terjadi ada sebabnya.”
Demikian kata pelawak dan pengacara, Azrul Zaidi ketika memberikan titipan kata semangat buat rakan baiknya, Along Cham setelah bebas daripada tuduhan memiliki dadah, semalam.
Azrul atau nama lengkapnya, Asrul Zaidi Jamaluddin berkata, dia berharap episod gelap yang berlaku dalam hidup Along memberi sinar untuk kehidupan yang lebih baik di kemudian hari.
“Walaupun kita dah tak serapat dulu, namun kau tetap ada dalam kamus hidup aku. Aku harap ini titik perubahan dalam hidup kau.
“Kita semua pendosa hanya Allah yang akan memberikan kita kekuatan. Keinginan nak jumpa itu ada, tapi biarlah aku memberi kekuatan buat kau dari jauh.
“Tanpa ko tak ada kumpulan Cham. Tanpa aku pun tak ada kumpulan Cham. Semua ini sejarah karier kita,” katanya menerusi sebuah hantaran di aplikasi Threads.
Semalam, Along sujud syukur dalam kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen, Putrajaya memutuskan untuk lepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis dengan ikat jamin RM5,000.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, bagaimanapun turut didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan.
Pada 20 Disember 2024, Along didakwa memiliki bahan disyaki dadah jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah kediaman yang terletak di Cyberjaya pada 14 Disember lalu.
Along didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan sebat maksimum 10 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan itu tidak boleh dijamin.-UTUSAN