Syabu lebih RM3 juta dirampas di Langkawi

Syabu lebih RM3 juta dirampas di Langkawi

RUSLEY Chi Ari (tiga kanan) bersama Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari (tiga kiri) menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu yang dirampas dalam operasi khas di perairan Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah dipercayai jenis syabu yang bernilai lebih RM3 juta.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, pihaknya melancarkan operasi khas berdasarkan maklumat mengenai penyeludupan dadah di perairan Pulau Pinang ke Langkawi kira-kira pukul 11 malam, Isnin lalu.

“Dalam operasi tersebut, kita berjaya menahan dan merampas sebuah bot dan sejumlah bungkusan disyaki dadah di kedudukan 6 batu nautika dari Pulau Lima.

“Manakala dua suspek telah terjun ke laut daripada bot tersebut dan masih gagal dikesan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya merampas 102 bungkusan kuning keemasan bertulis Guanyinwant Refined Chinese Tea yang mengandungi plastik lutsinar berisi ketulan mampat kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, dadah tersebut dianggarkan seberat 107.581 kilogram (kg) dengan nilai keseluruhan RM3.55 juta.

“Turut dirampas adalah sebuah bot gentian kaca bersaiz 32 kaki panjang dan 7.4 kaki lebar beserta dua buah enjin bot berjenama Yamaha 250 kuasa kuda bernilai RM200,050. Jumlah keseluruhan rampasan adalah RM3.75 juta,” katanya.

Rusley berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan tidak kurang 15 sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN