KLUANG: Seorang suri rumah dijatuhkan hukuman denda denda RM8,000 serta dikenakan bon kelakuan baik selama dua tahun dan menjalani khidmat masyarakat selama 60 jam selepas mengaku bersalah di atas tuduhan mendera anak kandungnya di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Jika gagal membayar denda itu, tertuduh, Norsaqila Rahmat, 32, diperintahkan menjalani hukuman penjara selama empat tahun.
Terdahulu, tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Norsaqila didakwa menyebabkan kecederaan pada bahagian tubuh anaknya yang berusia 10 tahun di rumah bernombor 25 Kanan, Lorong Md. Sari, Kampung Tengah pada 24 November lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen (31) (1) akta sama yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ramizah Razli memohon mahkamah memberikan hukumam setimpal atas kepentingan awam.
Walau bagaimanapun, Norsaqila yang tidak diwakili peguam bela sambil menangis merayu supaya hukuman ringan kerana mereka keluarga susah dan mempunyai empat orang anak berusia antara satu hingga 10 tahun selain menyesal atas apa yang dilakukannya.
Dia turut berjanji tidak akan mengulangi kesalahan serupa.
Mujib kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM8,000 dan jika gagal membayar dengan itu, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara selama tempoh empat tahun, bon kelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan menjalani khidmat masyarakat selama 60 jam bermula hari ini. – UTUSAN