PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada kesalahan dikesan dalam isu tadbir urus Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).
Perkara itu dimaklumkan menerusi laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkait pengurusan dana latihan dan keberkesanan program latihan HRD Corp yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Pegawai siasatan SPRM, Mohd Fuad Sedet memaklumkan kepada PAC bahawa tiada kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 yang dikesan dalam siasatan terhadap HRD Corp.
“Kami ada buka kertas siasatan. Daripada kertas siasatan tersebut, tiada kesalahan di bawah Akta SPRM yang didapati.
“Daripada kertas siasatan tersebut, kami panjangkan kepada bahagian pemeriksaan dan tatakelola (BPT),” katanya dalam laporan itu.
Pada Julai lalu, SPRM mengesahkan telah memulakan penyiasatan berhubung isu HRD Corp dengan mengambil dokumen-dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara dari Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Wan Suraya berkata, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat serta Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.
SPRM kemudian membuka siasatan terhadap HRD Corp yang dilapor dalam LKAN Siri 2/2024 supaya dirujuk kepada agensi penguatkuasaan susulan kegagalan agensi itu dalam audit. – UTUSAN










