Speaker sahkan terima usul bentang Laporan RCI

Speaker sahkan terima usul bentang Laporan RCI

TAN SRI JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan menerima dan meluluskan usul pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, laporan itu dijangka dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said minggu hadapan.

“Menteri (Azalina), akan bentangkan minggu hadapan sebelum berakhir sesi persidangan, 12 Disember ini. Saya sudah dapat usul dan edaran laporan juga telah dibuat, ia diletakkan di meja semua Ahli Parlimen.

“Kita juga berharap ia akan dibahaskan dan media harus melaporkannya supaya rakyat tahu apa yang berlaku dan dari situ kita akan lihat tindakan seterusnya,” katanya semasa Majlis Perasmian Seminar potensi Industri Lembu Hibrid Pedaging Malaysia 2024 di Parlimen, hari ini.

Semalam, Azalina dalam satu kenyataan berkata, laporan RCI terbabit sudah diedarkan kepada Ahli Parlimen dan ia akan dibahas Khamis ini di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, perbahasan berkenaan bergantung kepada Aturan Urusan Mesyuarat pada hari terbabit.

Dalam pada itu Johari berkata, buat masa ini beliau tidak boleh mendedahkan kandungan laporan itu, memandangkan ia belum dibentangkan menteri terbabit.

“Walaupun laporan itu sangat sulit tetapi ada setengah daripada maklumat itu kita sudah ‘nyahsulit’,” katanya.

Semalam, laporan RCI setebal 217 muka surat diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Ia termasuk syor siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr. Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN