‘Sofea, Uwais menangis, ajak ziarah pusara ibu, ayah’

‘Sofea, Uwais menangis, ajak ziarah pusara ibu, ayah’

MAZUPI Abdul Rahman menunjukkan gambar keluarganya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, baru-baru ini.- UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Sofea dan Uwais menangis sebaik sahaja diberitahu ibu bapa mereka sudah tiada serta mengajak kami untuk menziarahi pusara ibu dan ayahnya.”

Demikian cerita datuk kepada Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, dan Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, selepas mereka dibenarkan pulang ke kediamannya di Bangi, Selangor semalam. 

Kedua-dua kanak-kanak itu menjadi yatim piatu selepas ibu dan bapa mereka, Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan Fadzlenna Ramli, 32, maut akibat nahas mambabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Ampat di sini, Isnin lalu.

Terdahulu, kedua-dua kanak-kanak dibenarkan keluar dari Hospital Melaka petang semalam akibat kecederaan dari kemalangan itu selepas semakin menunjukkan perkembangan baik.

Menurut pesara polis, Datuk Mazupi Abdul Rahman, kedua-dua cucunya itu selamat tiba di rumahnya pada 8.45 malam kelmarin selepas dihantar menaiki ambulans dari Hospital Melaka.

“Sofea dan Uwais bagaimanapun akan dirujuk ke pakar psikiatri di Hospital Kuala Lumpur dan pakar ortopedik di Hospital Serdang bagi pemerhatian lanjut. 

“Namun ketika ini mereka berdua stabil dan dalam proses untuk sembuh sepenuhnya dari kecederaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Mengulas lanjut, Mazupi memaklumkan, kedua-dua cucunya itu akan dijaga olehnya bersama isteri di Bangi dan akan mula bersekolah sekiranya sudah disahkan sembuh oleh doktor. 

“Kelakuan mereka berdua sukar untuk diagak dan ada sesekali bertanya mengenai ibu dan ayahnya,” katanya.

Dalam kejadian minggu lalu itu, ibu bapa mereka maut dalam kemalangan ngeri membabitkan bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kereta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN