KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 berkuatkuasa lima hari bermula 23 hingga 27 Disember ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan mengawal 14 jenis barangan termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, ayam tua hidup, kubis bulat import dan banyak lagi.
Katanya, tempoh kali ini bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti ketersediaan penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah,” katanya dalam sidang media Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri KPDN, Dr. Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Ahli Parlimen Batu, Prabakaran M Parameswaran.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas 2024 turut digerakkan di seluruh negara, dengan sasaran 670 siri khusus menjelang perayaan Krismas.
Katanya, program berfokus kepada kawasan yang mempunyai populasi majoriti masyarakat Kristian dan ia merupakan mekanisme berkesan menangani kos sara hidup rakyat.
“Setakat 19 Disember 2024, 11,240 siri PJRM telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara. Sasaran untuk 2025 adalah 15,000 siri, dengan peruntukan yang telah ditingkatkan daripada RM200 juta (2024) kepada RM300 juta (2025).
“PJRM bertujuan memastikan barangan keperluan perayaan dapat diakses pada harga berpatutan selain melambangkan sentuhan kasih kerajaan kepada masyarakat yang menyambut Krismas,” ujarnya.
Tambah Armizan dalam sidang media, kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
Katanya, diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.
“Kami sedia menerima sebarang aduan dan laporan berkaitan dan akan siasat sebarang kesalahan melibatkan penyalahgunaan skim ini,” katanya. – UTUSAN