Sekumpulan mahasiswa menentang pencabulan hak kebebasan akademik

Sekumpulan mahasiswa menentang pencabulan hak kebebasan akademik

ALYAAH Hani Anuar bercakap kepada media mengenai menentang pencabulan hak kebebasan akademik oleh HARAM dan SUARAM) di hadapan KPT, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekumpulan mahasiswa dikenali sebagai Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) menuntut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mengambil langkah tegas bagi memastikan kebebasan autonomi universiti dihormati semua pihak termasuk pentadbiran universiti.

Setiausaha HARAM, Alyaah Hani Anuar berkata, KPT juga perlu memastikan setiap universiti memberi ruang kepada mahasiswa untuk berwacana tanpa sekatan.

“HARAM mengecam sekeras-kerasnya tindakan berterusan pelbagai pihak yang mencabul kebebasan akademik terutamanya di universiti-universiti.

“Sebagai institusi ilmu, universiti harus menjadi medan terbuka untuk diskusi dan debat yang sihat, bukan medan kawalan, penapisan dan intimidasi,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan KPT di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alyaah Hani turut berkongsi butiran mengenai program-program didakwa telah dicabul hak kebebasan akademik yang berlaku di beberapa universiti tempatan.

Jelasnya, ia termasuk insiden menutup lampu ketika satu program sedang berlangsung di sebuah kafe di dalam universiti yang didakwa dilakukan oleh polis bantuan dan beberapa anggota polis.

Selain itu, Alyaah Hani turut mendakwa jelajah pameran mengenai kronologi kematian S Balamurugan yang meninggal dunia ketika dalam tahanan turut dihalang oleh pihak pendtadbiran sebuah universiti sehari sebelum ia nya berlangsung.

“Perilaku sesetengah pemegang kuasa tertinggi dalam universiti yang sengaja melengahkan kelulusan program dan strategi tidak beradab serta bersifat totalitarian dengan ada yang membatalkan program di akhir-akhir waktu perlu diharamkan oleh KPT,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN