IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau berpegang kepada janji bahawa dirinya tidak akan menjejaskan nasib orang Melayu di negeri itu.
“Saya tahu apa yang saya buat. Saya ingat janji saya, sumpah saya bahawa saya tidak boleh melakukan perkara yang akan menyebabkan kerosakan kepada orang Melayu, kepada orang Malaysia dan juga agama Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulungkan Belanjawan 2025 negeri sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Saarani menyatakan perkara tersebut sebagai menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan terhadap kredibiliti kerajaan serta dirinya sehingga digelar sebagai perampas dan penggadai tanah rizab Melayu.
“Pernahkah dalam mana-mana ketika saya merampas atau menggadai walau seinci mana-mana tanah rizab Melayu di negeri ini? Jika ada saya mohon sila nyatakan kepada dewan yang mulia ini,” katanya.
Beliau memberikan contoh mengenai isu tanaman sawit yang diusahakan 600 anggota koperasi di Seri Iskandar yang menggambarkan kerajaan bertindak zalim apabila membiarkan tanaman sawit yang diusahakan diratakan oleh pemilik tanah berkenaan.
“Saya mengikuti isu ini yang turut diviralkan di media sosial. Saya digambarkan sebagai Menteri Besar yang zalim. Ada pula yang menggelar saya sebagai penggadai tanah rizab Melayu.
“Saya membuat sedikit sebanyak pencerahan. Pertama, tanah yang dimaksudkan adalah dua plot tanah dalam kategori tanah bagi kegunaan perindustrian. Berdasarkan semakan terkini, ia bukan tanah Rizab Melayu seperti yang didakwa,” katanya.
Beliau berkata, fitnah yang dilontarkan sangat menguji kesabarannya apabila dikaitkan pula dengan isu tanah rizab Melayu di Sitiawan sedangkan Ahli DUN mengetahui hal itu tidak berlaku semasa pentadbirannya.
“Malah tanah berkenaan tidak pernah dipindah milik melalui pihak berkuasa tanah iaitu Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, sebaliknya diperolehi oleh syarikat bukan Melayu melalui penjualan syer saham syarikat Melayu.
“Ini berkaitan tanah rizab Melayu di Sitiawan yang dibangkitkan dan ditomahkan seolah-olah saya merelakan pindah milik tersebut. Ia tidak berlaku di zaman saya, tetapi saya telah cuba sedaya upaya. Malah PTG boleh mengesahkan pada zaman ini kita menambah keluasan bagi tanah-tanah rizab Melayu,” katanya.
Belanjawan negeri Perak bagi tahun 2025 diluluskan dalam persidangan tersebut yang merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah negeri itu sebanyak RM1.52 bilion.
Semasa penggulungan Saarani juga berkata, terdapat sebanyak 14,280 setinggan kediaman yang telah dikenal pasti di seluruh negeri dengan 7,493 daripada angka tersebut telah diberi hak milik manakala 6,787 diberikan Lesen Menduduki Sementara (LMS).
Menteri Besar juga mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan elaun kepada semua Pusat Khidmat ADUN berjumlah RM14,000 termasuk bagi kawasan pembangkang. – UTUSAN










