Saya seorang yang telus - Najib

Saya seorang yang telus – Najib

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa beliau sentiasa bersikap telus dari peringkat awal berhubung dana yang dimasukkan ke dalam akaun AmIslamic miliknya.

Jelas Najib, sebaik dimaklumkan mengenai derma yang akan diterima oleh Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud, beliau telah memaklumkan bekas Pengarah Urusan AmBank, Cheah Tek Kuang mengenainya apabila membuka akaun di bank berkenaan.

“Ia adalah satu perkara yang tidak perlu saya lakukan, namun saya adalah contoh buku teks tentang apa yang ditakrifkan sebagai orang yang terdedah secara politik. Saya juga telah meminta Tek Kuang untuk memaklumkan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

“Tiada apa yang perlu saya sembunyikan. Dana-dana ini telah dibelanjakan sebagaimana yang diamanahkan kepada saya oleh Raja Abdullah bagi tujuan politik dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Saya telah merekodkan secara terperinci setiap perbelanjaan yang dikeluarkan melalui cek dari akaun AmIslamic bagi memastikan ketelusan dan dokumentasi yang teratur,” kata Najib.

Tambahnya, apa yang lebih membimbangkan ialah keterlibatan beberapa individu lain dalam penyelewengan dana berbilion ringgit daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah mudahnya diketepikan, tidak diendahkan atau dibiarkan.

Individu-individu yang dimaksudkan ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim; bekas peguam syarikat, Jasmine Loo Ai Swan dan beberapa lagi.

“Pada saya, ada yang tidak kena dengan perkara ini dan secara peribadi ia menggambarkan bahawa tindakan mereka dalam kes ini adalah bukan untuk mencari kebenaran tetapi untuk memesongkannya, memberikan keterangan palsu dan mensabitkan saya dengan pendakwaan politik bertujuan untuk memastikan saya dipersalahkan.

“Ini bukan usaha mencari kebenaran atau keadilan yang tulen.Sebaliknya ia adalah satu usaha terperinci untuk mendiamkan saya selaku lawan politik dan memastikan lawan saya terus berkuasa,” kata bekas Presiden UMNO itu.

Najib berkata demikian ketika menyambung membaca penyataan saksinya setebal 525 muka surat pada hari kelima beliau membela diri atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Pada 30 Oktober lalu, Najib diperintah untuk membela diri atas kesemua pertuduhan tersebut selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan prima facie kes itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung Isnin ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN