Samsuri letak jawatan bukan gambaran hubungan Pas, Bersatu

Samsuri letak jawatan bukan gambaran hubungan Pas, Bersatu

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Peletakan jawatan Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tidak menggambarkan ‘retak menunggu belah’ dalam konteks hubungan kerjasama antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengerusi Bersatu Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, kedua-dua parti saling memerlukan antara satu sama lain dalam agenda menguasai semula teraju pentadbiran negara dan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)

Beliau yang mengakui tidak mendapat maklumat secukupnya berkaitan sebab dan asbab tindakan diambil Ahmad Samsuri ITU berkata, apa yang berlaku tidak tepat jika digambarkan wujud bibit keretakan antara kedua-dua parti yang selama ini memperjuangkan agenda sama.

“Meskipun begitu, saya yakin ini tidak menjadi isu dalam hubungan antara Pas dan Bersatu. Saf kepemimpinan kami masih utuh,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baru-baru ini, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas membuat kejutan meletak jawatan Bendahari Agung PN sehingga menimbul persoalan pelbagai pihak mengapa tindakan sedemikian diambil.

Kamarudin berkata, apa yang berlaku hanya membabitkan tindakan peribadi Ahmad Samsuri yang mempunyai hak untuk melepaskan jawatan itu bagi memberi komitmen terhadap tugasan lain.

“Lagipun lima pemimpin kanan Pas dalam kepemimpinan PN tidak ambil langkah sama. Jadi ini bukan tindakan atau keputusan jemaah, ini tindakan peribadi,” katanya.

Sementara itu di ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak mahu mengulas berhubung isu peletakan jawatan Ahmad Samsuri itu.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah hanya membalas ringkas mesej ketika ditanya sama ada tindakan Menteri Besar Terengganu itu sebagai langkah yang betul atau sebaliknya.

“Tak ada komen setakat ini,” katanya.

Tindakan Ahmad Samsuri itu mengejutkan banyak pihak kerana beliau dikatakan tidak memaklumkan keputusan tersebut kepada kepemimpinan parti di peringkat negeri atau pusat.
Malah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga enggan ditemu ramah mengenai isu tersebut ketika ditemui pihak media di rumahnya di Rusila, Marang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN