MELAKA: Majlis sambutan hari lahir ketiga-tiga anak pasangan Khairul Ikhwan Mazupi, 32 dan Fadzlenna Ramli, 32, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Ampat di sini, semalam menjadi kenangan terakhir buat seluruh keluarga.
Adik Khairul Ikhwan, Nur Aqilah Mazupi berkata, sambutan itu diadakan serentak bagi mengelakkan Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, yang merupakan anak kedua merajuk, memandangkan lahir pada Februari berbanding abang dan adiknya pada Disember.
Katanya, kali terakhir dia bertemu abangnya Sabtu lalu semasa mereka sekeluarga singgah di Seremban, Negeri Sembilan sebelum bertolak ke Melaka.
“Majlis diadakan di rumah nenek mereka di Bangi dan itu sambutan kali pertama secara serentak.
“Paling saya terkesan apabila melihat si bongsu, Muhammad Umar Khairul Ikhwan bersungguh-sungguh melambai kepada kami ketika mereka sekeluarga singgah sebentar di Seremban,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini, semalam.
Sementara itu, bapa Khairul Ikhwan, Datuk Mazupi Abdul Rahman, 64, berkata, dia tidak menyangka perjalanan pulang mereka itu berakhir tragedi.
“Sebelum ini Khairul Ikhwan selalu guna kereta saya untuk membawa keluarga berjalan-jalan kerana dia ada tiga anak. Tetapi tidak sangka pula malam tadi perjalanan terakhirnya.
“Lebih tragis kejadian ini turut melibatkan menantu, cucu dan besan saya. Kesemua jenazah akan dibawa ke Bandar Baru Bangi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas selepas asar,” katanya. – UTUSAN







