Restoran guna peralatan berunsur komunis untuk tarik pelanggan dari China

Restoran guna peralatan berunsur komunis untuk tarik pelanggan dari China

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan awal polis mendapati, restoran di Klang menggunakan peralatan hidangan makanan dan minuman berunsurkan komunis, bagi menarik pelanggan warganegara China.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, strategi itu digunakan pemilik restoran berkenaan bagi menarik pelanggan merasakan suasana kampung halaman mereka.

Kata beliau, peralatan berunsur komunis tersebut dibeli oleh teman lelakinya, seorang warganegara China dan kini berada di negara itu.

“Barangan tersebut telah dibeli secara dalam talian oleh teman lelaki pemilik restoran berkenaan. Kesemua barangan berunsurkan komunis itu dipercayai digunakan semenjak pembukaan restorannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, setakat ini, tangkapan hanya membabitkan seorang individu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Paparan lesen di restoran milik suspek mendapati mereka masih mempunyai lesen sah,” jelasnya.

Kelmarin, sebuah restoran di Jalan Kasuarina 6/KS7, Bandar Botanic, Klang dekat sini diserbu polis selepas dikatakan menggunakan peralatan makanan bagi mempromosikan agenda komunis.

Hasil serbuan itu, pemilik restoran berusia 20 tahun telah ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Serbuan dilakukan selepas satu laporan polis diterima berhubung sebuah video yang diambil dari pautan YouTube atas akaun ‘Luiswong90’ mengenai sebuah kedai makan berunsurkan komunis.

Berdasarkan rakaman video itu memaparkan restoran itu mempunyai beberapa peralatan hidangan makanan dan minuman seperti pinggan, mangkuk, teko, gelas dan cawan gambar pemimpin komunis

Video berdurasi satu minit 24 saat dimuatnaik sejak 10 hari lalu dan telah mendapat sebanyak 3,800 tontonan, 94 tanda like dan 25 komen.

Menerusi serbuan sama, sebanyak lima mangkuk seramik saiz kecil warna putih berjalur biru tercatit tulisan Cina dan gambar disyaki pemimpin komunis China bernama Mao Zedong bersama rakan-rakannya, telah dirampas.

Turut dirampas cawan kaca teh seramik warna putih berjalur biru tercatit tulisan Cina dan gambar beberapa individu. Selain itu, tiga sudu sup seramik warna putih berjalur biru terdapat gambar disyaki muka Mae Zedong turut dirampas.

Polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 & 505(b) Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN