PASIR SALAK: Dua beranak di Kampung Hujung Rintis, Sungai Besar Kota Setia di sini menjadikan kerja menyiat daun nipah untuk dijadikan rokok daun sebagai sumber pendapatan keluarga.
Siti Ramlah Jalil, 62, berkata, dia sebelum ini bekerja mengutip buah sawit yang luruh di kebun penduduk kini menjadikan pekerja menyiat daun pucuk nipah sebagai pendapatan sejak lima tahun lalu sambil dibantu anaknya Nazira Jamhari, 34.
Menurutnya, hasil pekerjaan itu, dia menerima upah RM2.50 bagi setiap sekilogram daun nipah yang sudah disiat dan dalam sehari boleh dapat kira-kira 30 kilogram.
Katanya, pekerjaan seperti itu sudah jarang ditemukan namun daun nipah untuk rokok gulung masih mendapat permintaan yang tinggi terutama dalam kalangan penduduk kampung.
“Pembuatan rokok daun ini ibarat industri kecil kepada penduduk kampung suatu masa dahulu terutama pada tahun 60-an. Walaupun sudah tidak ramai lagi yang mengusahakannya, permintaan untuk rokok dari daun nipah masih ada walaupun sudah tak seperti dahulu.
“Saya dibantu anak menjadikan pekerjaan menyiat daun nipah untuk rokok daun sebagai pendapatan sampingan, kerjanya mudah hanya dilakukan di rumah. Di kampung ini hanya kami dua beranak yang melakukan pekerjaan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, sebelum disiat, daun nipah yang dihantar oleh penduduk dibelah dan dibersihkan terlebih dahulu sebelum dijemur dan disiat manakala proses menjemur untuk mengeringkan daun nipah mengambil masa sehari.
“Biasanya saya dan anak memulakan pekerjaan menyiat daun nipah pada sebelah pagi. Selepas itu kami berhenti untuk memasak dan menyambung semula pekerjaan ini selepas solat Zuhur. Pada petang, selepas solat Asar kami sambung semula kerja.
“Tak ramai yang boleh melakukan pekerjaan ini kerana ia satu pekerjaan yang sangat jarang ditemukan ketika ini. Saya ada pengalaman dalam pekerjaan ini kerana arwah opah saya dulu pernah melakukan pekerjaan ini dan diteruskan sehingga kini,” katanya. – UTUSAN











