SHAH ALAM: Projek tebatan banjir di negeri ini diselaras dan disusun semula bagi memastikan pembinaannya dapat disiapkan dengan segera terutama melibatkan kawasan-kawasan yang dikenal pasti seperti di Sungai Buloh dan Klang.
Malah, jawatankuasa yang bertanggungjawab juga akan diperkemas dan diperbesarkan peranannya termasuk melibatkan agensi daripada Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah tersebut segera diambil susulan teguran daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu melihat hasilnya dalam masa terdekat.
Menurutnya, projek tebatan banjir sebelum ini berdepan kelewatan seperti di Taman Mutiara Bukit Raja yang memerlukan kerjasama dengan pengendali konsesi lebuh raya bagi pembinaan kolam takungan.
“Pada esoknya (Jumaat lalu) dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), kita sudah minta perkemaskan dan perbesarkan jawatankuasa tersebut termasuk agensi Persekutuan.
“Saya juga mendapat komitmen daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mana beliau sendiri turun dan membantu menyusun dan menyelaras bersama dengan agensi-agensi Persekutuan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika bertitah pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Cina Muslim yang turut dihadiri Fadillah pada Khamis lalu menitahkan kerajaan negeri menubuhkan pelan tindakan bagi mengatasi banjir di negeri ini dan mahuu melihat hasilnya dalam masa terdekat.
Baginda bertitah demikian selepas mendapati berjuta-juta ringgit peruntukan dikhaskan bagi mengatasi masalah tersebut untuk jangka pendek dan panjang, namun seolah-olah tidak berhasil.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Negeri menjelaskan, teguran yang disampaikan oleh Sultan Selangor sewajarnya membuka mata semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta.
“Maknanya, kerjasama di antara kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk syarikat-syarikat swasta dan agensi itu sangat perlu, kalau kita hendak atasi banjir. Jadi, ia membuka mata semua pihak.
“Sebelum ini, saya sudah banyak kali suarakan di banyak mesyuarat, begitu juga exco-exco, mungkin tidak dengar, tetapi apabila Tuanku menyampaikan titah tersebut saya rasa membuka mata dan telinga ramai pihak dan menjemput mereka untuk bersama-sama,” ujarnya. – UTUSAN










