KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar lebih RM2 bilion kepada pencarum yang berdepan kecelakaan dan musibah semasa bekerja.
Berdasarkan statistik Perkeso, sepanjang 2023 seramai 219,640 orang berinsurans (OB) menerima pampasan hilang upaya iaitu hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, pencen dan bantuan ilat serta elaun keuzuran dengan jumlah bayaran sebanyak RM2.12 billion.
Seramai 215,113 OB menerima pampasan Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) melibatkan bayaran sebanyak RM2.10 billion dan 4,476 orang menerima faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) dengan bayaran sebanyak RM26.54 juta.
Sementara itu, seramai 51 OB menerima pampasan berjumlah RM75,947 di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, kementeriannya mengamalkan tatakelola yang terbaik dalam tadbir urus organisasi membabitkan isu tuntutan palsu.
Kata beliau, Kementerian Sumber Manusia menerusi Perkeso melakukan kerjasama rapat dan bersedia untuk melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
“Di peringkat dalaman pula, Perkeso terus memperkukuh mekanisme semak dan imbang, dengan mewujudkan Jawatankuasa Penilaian Keputusan Jemaah Doktor agar setiap kata putus daripada hasil penaksiran adalah bebas daripada sebarang unsur manipulasi serta penipuan.
“Pada masa yang sama Perkeso merancang untuk menerapkan elemen automasi seperti kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keberkesanan sistem penaksiran keilatan serta faedah hilang upaya, selaras dengan perkembangan teknologi revolusi perindustrian 5.0 (IR 5.0) bagi mengelak perkara yang sama berulang lagi di masa-masa hadapan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang memintanya menyatakan statistik bagi pampasan hilang upaya yang dibayar oleh Perkeso bagi tahun 2023.
Mengulas lanjut, Steven berkata, kementerian dan Perkeso mengambil beberapa langkah untuk mengekang kes tuntutan palsu dan seumpamanya daripada berulang lagi.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata, antara langkah diambil adalah menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) sekiranya terdapat keperluan untuk menambah baik kawalan dalaman sedia ada dan menambah baik semua akta yang ditadbir oleh Perkeso.
“Selain itu, menjalinkan kerjasama strategik dengan kementerian/agensi penguat kuasa seperti SPRM dan Kementerian Kesihatan.
“Melaksanakan analisa data, membuat pemantauan, penyeliaan dan intipan serta siasatan dalaman secara berterusan terutama bagi membongkar kewujudan rangkaian kartel penipuan tuntutan palsu Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) yang beroperasi sejak beberapa tahun lalu,” katanya. – UTUSAN