KANGAR: Penyertaan bekas veteran UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin di dalam PKR dikhuatiri mengundang rasa ketidakselesaan dalam kalangan ahli dan pemimpin parti itu di negeri ini.
Dalam masa sama, timbul juga pertikaian di pihak UMNO kerana Zahidi didakwa cuba menarik ahli-ahli parti itu untuk bersama dengan beliau sekali gus mengundang situasi tidak sihat memandangkan dua parti itu adalah rakan kerjasama di dalam Kerajaan Perpaduan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PKR negeri, Noor Amin Ahmad berkata, bagaimanapun, secara demokratik, Zahidi bebas untuk memilih menyertai mana-mana wadah politik yang diingininya.
Namun secara realiti katanya, penyertaan Zahidi bersama PKR sememangnya mempunyai cabaran dan bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar itu juga perlu menunjukkan kematangan dalam berpolitik.
“Sebelum ini pun memang dia (Zahidi) ada juga buat panggilan untuk berjumpa dengan teman-temannya dan di situ telah timbul pertikaian di mana UMNO merasakan wujud situasi tidak sihat. Ini adalah kerana Zahidi juga dikatakan telah menarik ahli-ahli UMNO untuk bersama dengannya,” katanya mengulas mengenai penyertaan Zahidi di dalam PKR.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, selepas dua tahun menyepi setelah disingkirkan UMNO, Zahidi membuat kemunculan semula di dalam politik dengan menyertai PKR.
Serentak dengan penyertaaan Zahidi itu juga, beliau bakal mewujudkan 400 ranting di seluruh negeri ini dengan lebih 100 ranting PKR pula di Padang Besar dengan misi untuk Pakatan Harapan (PH) dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) kembali merampas Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Mengulas lanjut, Noor Amin berkata, sebelum ini, Zahidi pernah menyatakan hasrat menyertai PKR bagaimanapun terdapat pelbagai reaksi bercampur baur ketika itu yang mana kebanyakannya adalah negatif.
“Selepas itu, Zahidi cuba menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) namun turut ditolak. Kemudian, saya difahamkan beliau telah mengisi keahlian PKR melalui aplikasi dan telah diluluskan kepemimpinan parti pada Mei lalu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Azizan Sulaiman membidas kenyataan Zahidi yang mendakwa kedudukan kepimpinan bahagian akan tergugat sekiranya beliau kembali bersama UMNO.
Menurutnya, jawatankuasa UMNO Bahagian Padang Besar sedia ada yang dipilih sebelum ini sememangnya tidak akan berundur walaupun Zahidi kembali bersama parti itu.
“Tak timbul isu saya atau ketua bahagian akan lepaskan jawatan jika dia (Zahidi) kembali dan kenyataan dikeluarkan itu hanya akan mengelirukan ahli UMNO.
“Dan kalau pun dia diterima kembali bersama UMNO, tak semestinya kami kena berundur untuk bolehkan dia jadi ketua bahagian balik, kerana prosesnya perlu mengikut aturan,” katanya ketika ditemui di pejabat UMNO Padang Besar-UTUSAN











