Penyelarasan harga beras masih dalam kajian

Penyelarasan harga beras masih dalam kajian

SEORANG pelanggan melihat beras yang dijual di sebuah pasar raya di Kluang, Johor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan penyelarasan harga beras putih tempatan (BPT) masih belum dimuktamadkan sepenuhnya kerana kajian terperinci berhubung perkara itu masih sedang berjalan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pada masa sama, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) juga ketika ini baru selesai menghasilkan kajian am berhubung industri padi beras negara.

“KPKM ingin memberi komitmen bahawa setiap aspek penambahbaikan dan syor yang dikemukakan oleh kedua-dua kajian tersebut akan diteliti dan dinilai mengenai kebolehupayaan dan keutamaan pelaksanaannya pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dimuatnaik di laman sesawang Parlimen Malaysia semalam.

Jawapan itu diberi bagi menjawab pertanyaan Jamaludin Yahya (PN – Pasir Salak) yang bertanyakan hasil perbincangan bersama pemegang taruh dalam memuktamadkan cadangan dan perincian bagi mencari penyelesaian terbaik isu padi dan beras seperti yang dimaklumkan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga yang lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, susulan keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 19 Mac lalu, KPKM di­arah meneruskan perbincangan bersama dengan semua pemegang taruh meliputi jabatan dan agensi kerajaan, pesawah, pengilang, pemborong dan peruncit.

Katanya, perbincangan itu adalah bagi memperhalusi pelan tindakan jangka panjang struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistic dalam memastikan industri padi dan beras adalah mampan.

“Sesi libat urus bersama pemegang-pemegang taruh te­lah selesai namun cadangan-cadangan termasuk cadangan penyelarasan harga baharu beras putih tempatan (BPT) masih belum dimuktamadkan sepenuhnya memandangkan kajian terperinci mengenainya masih sedang berjalan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar raya dan pasar raya mini di daerah Kluang tidak me­nemukan walau sekampit beras putih tempatan dijual. Yang ada hanya beras putih import.

Lebih mendukacitakan, jua­lan beras putih import juga tidak menggambarkan har­ganya akan turun seperti diumumkan kerajaan sebelum ini, malah ada sesetengah jenama dijual pada harga lebih mahal.

Pelanggan, Rosli Ahmad, 55, berkata, rakyat seolah-olah dipermainkan dengan pelbagai janji untuk menyelesaikan isu beras putih tempatan yang ‘hilang’ disejak hampir dua tahun.

Biarpun kononnya pelbagai langkah diambil mengatasi isu makanan ruji rakyat itu, namun hingga kini isu ini masih gagal ditangani.

“Dikhuatiri harga akan me­ningkat lagi apabila penjawat awam mula menerima kenaikan gaji awal tahun depan dan yang menjadi mangsa adalah golongan bekerja sendiri termasuk penduduk di pedalaman.

“Sekiranya keadaan ini berlaku, pihak berkenaan akan terus terbeban seandainya kawalan terhadap harga barang asas utama seperti beras putih tempatan atau import tidak dapat diselesaikan de­ngan tuntas,” katanya.

Justeru, Rosli berharap langkah segera perlu dilakukan bagi menyelesaikan isu ‘kehilangan’ beras putih tempatan selain mengawal kenaikan harga beras putih import.

Sementara itu, pengurus sebuah pasar raya yang enggan namanya disiarkan mengakui tidak menerima bekalan beras putih tempatan sejak hampir lima bulan lalu.

“Kalau sebelum itu kami menerima bekalan antara 100 hingga 200 kampit beras 10 kilogram antara dua hingga tiga kali sebulan, namun tiada lagi bekalan dihantar selepas sam­butan Hari Raya Aidiladha lalu.

“Beras putih import pun dijual pada harga paling rendah RM35 sekampit sekarang berbanding RM32 sebelum ini kerana bekalan diterima pada harga tinggi selain tiada penurunan seperti diumumkan pada November lalu,” katanya.

Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban pula mempersoalkan bila kerajaan akan mendedahkan kartel padi dan beras?

Kata beliau, isu ketiadaaan beras tempatan di pasaran tidak sepatutnya berlaku memandangkan pesawah membekalkan hasil padi secukup­nya setiap tahun.

Namun katanya, apabila sampai di peringkat kilang atau pemborong besar didakwa berlaku manipulasi dengan mencampurkan beras tempatan dan import seterusnya dijual pada harga beras import bagi mengaut keuntungan le­bih yang menjadikan pengguna sebagai mangsa.

Justeru tegasnya, kerajaan perlu segera mendedahkan kartel-kartel tersebut bukan sekadar berjanji untuk bertindak demikian namun sehingga kini masih sunyi sepi sehingga kartel terbabit terus ‘besar’ kepala.

“Sebagaimana yang selalu dibangkitkan, punca ketiadaan bekalan beras tempatan ini apabila para pemborong besar mencampur beras tempatan dan import yang akhirnya sukar untuk mendapati beras tempatan di pasaran.

“Kerajaan perlu segera dedahkan, jangan cakap sahaja. Beras tempatan yang sukar berada di pasaran, seolah-olah ‘signal’ kartel ini langsung tidak gentar,” katanya.

Kartel padi dan beras yang selama ini menguasai pasaran dan mencorak industri beras seolah-olah tidak gentar meskipun kerajaan sudah memberi penegasan akan mendedahkan tindakan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN