Peminat hadiah terbesar buat seorang pelakon - Diana Danielle - Utusan Malaysia

Peminat hadiah terbesar buat seorang pelakon – Diana Danielle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Diana Danielle, tidak menolak peminat merupakan tunjang utama yang menjadikannya mampu meraih pencapaian membanggakan dalam industri seni tanah air.

Menurut Diana, ia terutama apabila filem Imaginur diangkat sebagai Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) pada 7 Disember lalu.

Jelas Diana, kejayaan di pentas berprestij seperti FMM tidak boleh dilupakan kerana pencapaian itu juga membuktikan sokongan berterusan daripada peminat yang hadiah terbesar untuk seseorang pelakon.

“Sebenarnya yang saya paling hargai adalah sokongan orang yang pergi tonton filem Imaginur dan beri maklum balas dengan berkongsi bagaimana filem berkenaan memberi kesan kepada mereka.

“Jadi, itu sebenarnya penghargaan sebenar dan sudah tentu bila dapat pengiktirafan daripada FFM, ia lebih membuatkan kami rasa lebih bersemangat untuk teruskan berkarya.

“Saya tak ingat berapa anugerah yang sudah saya terima sepanjang dalam industri ini, mungkin tiga, Alhamdulillah. Sebaik terima anugerah saya sedar penghargaan peminat itu yang membawa kita.

“Penghargaan industri itu besar. Tapi peminat yang akan bawa kita untuk terus kekal dalam bidang ini daripada satu tahun ke satu tahun. Terima kasih kepada peminat saya,” katanya.

Diana berkata demikian ketika bersiaran dalam podcast Kata Kita kendaliannya bersama Nani Roslan baru-baru ini.

Mengulas mengenai pengiktirafan diberikan kepada aktor veteran, A. Galak yang menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman pada FFM33, Diana menyarankan agar penggiat industri terus membuka mata terhadap sumbangan diberikan pelakon lama.

Diana berkata, pelakon veteran banyak membantu dari segi pertumbuhan industri perfileman sehingga hari ini.

“Selama 60 tahun A. Galak dalam industri seni, ini adalah pertama kali dia menerima anugerah penghargaan sepanjang hayat. Jadi, di situ memang nampak dia sangat menghargai momen itu.

“Bayangkan 60 tahun dalam industri baru dapat pengiktirafan. Jadi, saya fikir kita semua perlu lebih memberi perhatian kepada pemain industri dengan memberi penghargaan kepada mereka yang masih aktif.

“Bukanlah untuk kita ‘bagi muka’, tapi pada masa sama perlu beri perhatian kepada mereka sebab selalunya orang memilih untuk beri perhatian kepada mereka (penggiat seni) yang baru nak naik atau tengah ‘trending’.

“Tapi, penggerak industri seni adalah orang yang sudah lama dalam bidang ini. Mereka juga adalah individu di belakang tabir yang cuba membantu menguatkan polisi-polisi dunia hiburan ini. Jadi, pada saya mereka haruslah diberi penghormatan dan penghargaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN