PONTIAN: Orang ramai diminta membantu mengesan seorang pelajar, A.M. Rosiesatharnam yang hilang dari rumah keluarganya sejak 8 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, Rosiesatharnam yang beralamat di Malacca Plantation, Peradin, Telok Kerang, dekat sini keluar dari rumah pada pukul 10.30 pagi.
Ketika kejadian, pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini tidak pergi ke sekolah, manakala ibu bapanya tiada di rumah.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh keluarganya ini pada hari yang sama di Balai Polis Pontian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Rosiesatharnam mempunyai ketinggian 155 sentimeter, berat badan 45 kilogram, berbadan kurus dan berambut panjang hingga paras pinggang.
“Rosiesatharnam adalah anak sulung daripada dua beradik dan punca kehilangannya masih tidak diketahui dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pelajar itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohammad Fitri di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Pontian menerusi talian 011-11903688 atau hotline IPD Pontian 07-6869999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN