ALOR SETAR: Parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) perlu berhenti menimbulkan persoalan remeh yang mampu menghancurkan masa depan parti sendiri dan gabungan itu.
Ketua Penerangan BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kesemua parti komponen digesa agar dapat menghadam dan memahami hala tuju baru BN.
“BN Negeri Kedah yakin dan percaya garis panduan dan amanat yang diberikan oleh Pengerusi, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mampu memberi panduan dan jalan keluar untuk BN merungkai kekusutan, serta memadam apa jua kekeliruan yang timbul.
“Pada masa sama, semua parti komponen diminta mengenepikan ego politik serta membuat pengorbanan bagi memastikan agar parti terus diterima rakyat dan kembali memulihkan imej bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid berkata, pimpinan BN diingatkan supaya melepaskan ego kepartian demi mencapai matlamat lebih besar iaitu kepentingan politik negara sekali gus diterima seluruh peringkat kumpulan rakyat.
Beliau berkata, BN mesti bersedia mencipta perubahan melangkaui kepentingan parti dalam mengatur agenda politiknya dan melihat dari sudut pandang lebih luas.
Shaiful Hazizy berkata, ‘road map’ baru yang digariskan Ahmad Zahid untuk BN yang bersamaan pakej penjenamaan adalah jalan yang terbaik buat masa ini.
“Sambutan jubli emas BN semalam mampu menjadi titik tolak untuk gabungan ini kembali mendapat kepercayaan rakyat setelah melalui beberapa saat hitam,” ujarnya. – UTUSAN