PARLIMEN: Bank perlu bayar balik wang scam jika cuai - Perdana Menteri

PARLIMEN: Bank perlu bayar balik wang scam jika cuai – Perdana Menteri

ANWAR Ibrahim-JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan kajian bagi membolehkan pihak bank bertanggungjawab terhadap kehilangan duit daripada akaun pengguna yang berlaku disebabkan kecuaian mereka dan jenayah penipuan dalam talian atau scam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersetuju bahawa pihak bank perlu bertanggungjawab sekiranya cuai dan kajian tersebut sudah mula dilaksanakan dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP).

Kata beliau, kajian tersebut bagi memperketatkan undang-undang agar pihak bank juga turut bertanggungjawab sekiranya didapati mereka tidak cermat dalam memantau dan memastikan peraturan dipatuhi.

“Kalau dikenal pasti kecuaian, bank akan bayar umpamanya setakat ini mengikut Seksyen 413 Kanun Tatacara Jenayah, (sebanyak) RM178,407 telahpun dipulangkan, maknanya ada (duit yang dipulangkan).

“Tetapi seperti mana yang dikaitkan dengan undang-undang di United Kingdom (UK), itu hanya jika dikenalpasti kecuaian pihak bank atau bank tidak memantau mengikut peraturannya. Maka bank mesti juga bayar ganti rugi dan saya setuju bahawa prinsip itu juga diguna pakai di sini,” katanya semasa sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dari Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang memintanya menyatakan kesediaan kerajaan untuk bergerak ke arah UK bagi meletakkan pihak bank sebagai pihak yang bertangungjawab.

Dalam pada itu, Anwar mengakui bahawa masalah scam adalah satu hal yang sangat rumit dan dihadapi oleh semua negara di dunia ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan melalui pihak penguatkuasa melaksanakan pelbagai usaha untuk menyekat dan menjejaki wang yang terlibat dengan jenayah scam.

“Umpamanya, satu kes yang dilaporkan oleh polis, satu akaun keldai oleh penagih dadah yang tidak tahu digunakan mencecah lebih RM1 bilion. Maknanya, jumlah yang ditipu itu ramai. Memang benar RM19 bilion telah berjaya disekat, maknanya ada kejayaan.

“Bayangkan, kalau tidak disekat oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC) dengan kerjasama Bank Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi kewangan bank dan syarikat telekomunikasi (maka) RM19 bilion akan terlepas, tetapi ia berjaya disekat.

“(Sebanyak RM6 juta (berjaya) disita sejak penubuhan NSRC, 140,474 (aduan) diterima dan 69,000 (merupakan) kes penipuan),” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN