Mak Cik Kemboja didenda RM40,000 mengaku hina orang Melayu

Mak Cik Kemboja didenda RM40,000 mengaku hina orang Melayu

MARIYAH Yaakob (kiri) dan Ezuan Hafsham Mohd. Hisyam (dua dari kanan) ditemani peguam ketika hadir ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pemilik syarikat jahitan pukal warga Kemboja didenda RM40,000 manakala anak lelakinya dilepaskan dengan bon sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menghina rakyat negara ini khususnya kaum Melayu, tahun lalu.

Hakim Azaraorni Abd. Rahman membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah kedua-dua tertuduh, Mariyah Yaakob, 48, dan Ezuan Hafsham Mohd. Hisyam, 23, sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mariyah didakwa menggunakan aplikasi TikTok dan membuat hantaran jelik dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu.

Kesalahan itu telah dilihat kira-kira pukul 6 petang melalui aplikasi TikTok di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai dalam daerah Melaka Tengah pada 16 November 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding sama, Ezuan Hafsham yang juga Pengarah Syarikat Mariyah Holding didakwa secara sedar menggunakan aplikasi TikTok di alamat sama dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya membuat kenyataan jelik antara 14 dan 16 November 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar mencadangkan hukuman setimpal dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan yang menyentuh isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja adalah amat serius.

Peguam Kamal Hisham Jaafar merayu hukuman ringan dikenakan ekoran pengakuan salah yang dibuat anak guamnya telah menjimatkan masa mahkamah.

Katanya, permohonan maaf yang dilakukan kedua-dua anak guamnya di media sosial membuktikan mereka telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Mahkamah memerintahkan Mariyah membayar denda sebanyak RM40,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu. Mariyah membayar denda tersebut.

Ezuan Hafsham pula dikenakan bon sebanyak RM10,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin rakyat tempatan memandangkan lelaki itu masih menuntut di University of Reading di United Kingdom. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN