Lima kakitangan hospital kerajaan didakwa terima rasuah berkaitan pengurusan mayat  

Lima kakitangan hospital kerajaan didakwa terima rasuah berkaitan pengurusan mayat  

SEBAHAGIAN daripada lima penjawat awam sebuah hospital kerajaan di Seremban yang hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa kerana menerima rasuah daripada syarikat berkaitan perkhidmatan pengurusan mayat.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lima penjawat awam yang bertugas di Jabatan Forensik sebuah hospital kerajaan di sini didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM600 hingga RM2,250 daripada syarikat berkaitan perkhidmatan pengurusan mayat sejak 2021.

Lima tertuduh tersebut ialah, Penolong Pegawai Perubatan, N.S Sharvinder Singh, 40, serta masing-masing Pembantu Perawatan Kesihatan, S.Vickneswari , 55, P.Veeramaly, 50, Mohd. Nor Ali, 36 dan Wan Mohd. Fazlan Shah Shasim, 41.

Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, kelima-kelima tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu Penolong Pegawai Perubatan U32 serta Pembantu Perawatan Kesihatan U14 dan U11 di Jabatan Forensik sebuah hospital kerajaan di sini telah secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang berjumlah RM600 hingga RM2,250 menerusi transaksi dalam talian ke dalam akaun bank milik mereka.

Suapan itu diterima daripada dua individu yang merupakan pemilik syarikat berkaitan pengurusan mayat.

Ia sebagai upah untuk memberikan maklumat kematian dan waris si mati hospital kerajaan tersebut kepada individu berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di beberapa buah bank di sekitar Seremban, Kuala Pilah dan Mantin di sini antara 5 Jun 2021 hingga 9 Februari 2023.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Sekyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang 15 kali ganda atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fatin Nur Athirah Zainudin menawarkan jaminan antara RM8,000 hingga RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan melapor diri di Pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam, G.Visanathan yang mewakili Sharvinder Singh seterusnya peguam, Paul Krishnaraja bagi pihak Vickneswari dan Veeramaly serta peguam, Datuk Hanif Hassan mewakili Mohd. Nor dan Wan Mohd. Fazlan Shah memohon jaminan paling minimum mengambil kira mereka penjawat awam dan jumlah suapan yang diterima adalah rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan Sharvinder Singh diikat jamin RM10,000, Vickneswari (RM6,000), Veeramaly (RM4,000), Mohd. Nor (RM5,000) dan Wan Mohd. Fazlan Shah (RM3,000) masing-masing dengan seorang penjamin.

Kesemua tertuduh juga perlu melapor diri di Pejabat SPRM berdekatan setiap Sabtu pertama setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 9 Januari depan.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN