KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen LESTARIPendidikan bagi menyampaikan mesej tentang tanggungjawab sosial dan kewangan peminjam dalam menjamin kelangsungan dana pendidikan negara.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, melalui inisiatif itu, PTPTN bukan sahaja memenuhi tanggungjawab sosial tetapi turut memainkan peranan penting dalam membentuk modal insan negara.
Berucap dalam Majlis Peluncuran Kempen Lestari Pendidikan di Menara PTPTN, di sini semalam, beliau menyeru peminjam agar memahami bahawa setiap pembayaran balik adalah pelaburan kepada masa depan generasi akan datang.
“Dengan dana yang diterima melalui bayaran balik, PTPTN mampu menyokong lebih 450,000 peminjam sedia ada dan 150,000 peminjam baharu setiap tahun,” jelasnya.
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, PTPTN memperkenalkan inisiatif seperti #PTPTNBolehBincang untuk membantu peminjam merancang pelan pembayaran fleksibel mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Selain itu, inisiatif #PTPTNSediaBantu pula menyediakan pelbagai saluran bayaran balik yang lebih mudah dan cepat bagi memudahkan urusan peminjam.
“Kegagalan membayar balik bukan sahaja menjejaskan dana pendidikan tetapi turut merencatkan masa depan ribuan pelajar yang memerlukan,” tegas Norliza. – UTUSAN










