PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk mempertahankan pentadbiran negara berbanding Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, kekuatan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja terletak pada gabungan 18 hingga 19 parti yang bersatu di bawah satu payung, tetapi juga hasil kelemahan ketara PN dalam menarik sokongan pengundi bukan Melayu.
“Walaupun PN mendapat sokongan hampir 80 peratus pengundi Melayu, ia masih belum mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan kerana kekurangan daya tarikan terhadap pengundi bukan Melayu.
“Situasi ini memberikan kelebihan kepada Kerajaan Perpaduan yang mendapat sokongan menyeluruh, termasuk daripada Sabah dan Sarawak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan Kerajaan Perpaduan boleh memenangi Pilihan
Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya aspek kesetiaan kepada parti diberikan keutamaan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, BN akan terus memberikan komitmen iaitu untuk bersama Kerajaan Perpaduan dan mewujudkan kerajaan yang stabil sehingga PRU Ke-16.
Dalam pada itu, Azmi menambah, kelebihan Kerajaan Perpaduan turut disokong oleh kestabilan politik yang diwujudkan melalui gabungan pelbagai parti utama di Semenanjung serta entiti politik di Borneo.
“Faktor ini menjadikan Kerajaan Perpaduan lebih bersifat inklusif dan mampu memenangi keyakinan rakyat, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden UMNO dan Presiden PKR baru-baru ini,” katanya lagi.
Beliau berkata, kelemahan PN dalam memperluaskan sokongan di luar demografi Melayu harus segera diatasi jika ingin menjadi pesaing yang lebih relevan pada masa akan datang.
“PN perlu lebih proaktif dalam meraih sokongan pengundi bukan Melayu untuk memastikan daya saing dalam pilihan raya seterusnya,” ujarnya.
Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berjaya menghimpunkan pelbagai parti politik di bawah satu gabungan melibatkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mentadbir negara. – UTUSAN










