PETALING JAYA: Banjir besar akibat Monsun Timur Laut yang melanda sembilan negeri menyebabkan kemusnahan besar ibarat dibadai tsunami terutama bagi penduduk di Pantai Timur.
Bencana itu menyebabkan kemusnahan harta benda awam, rumah penduduk, infrastruktur, sektor pertanian dan ternakan, ‘ditelan’ bah disifatkan terburuk sejak 1967 ketika ‘bah merah’ melanda Kelantan.
Limpahan air Sungai Golok juga mengakibatkan pekan Rantau Panjang lumpuh sepenuhnya, menyebabkan peniaga di kawasan bebas cukai itu kerugian jutaan ringgit, dengan ada yang melelong barang bagi mengurangkan kerugian.
Pakar menjangka kerugian akibat banjir kali ini lebih tinggi mencecah lebih RM1 bilion. Malah nilai ditanggung bukan sahaja membabitkan kemusnahan infrastruktur awam tetapi juga penyaluran dana iaitu Bantuan Wang Ihsan RM1,000 untuk setiap ketua isi rumah serta Bantuan Wang Ihsan Kematian RM10,000 untuk waris kepada mangsa yang meninggal dunia.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UKM), Prof. Dr. Aweng Eh Rak, nilai kerugian mungkin lebih tinggi dengan jumlah negeri dan mangsa yang terjejas lebih tinggi berbanding banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014.
Katanya, ketika banjir besar Kelantan pada 2014, negeri itu sahaja telah mencatatkan nilai kerugian RM1 bilion apabila musibah alam berkenaan memberi kesan kepada lebih 300,000 mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.
“Kerugian mungkin lebih teruk atau lebih RM1 bilion sekiranya tiada persediaan dan pengurusan yang cekap serta kerjasama erat pelbagai pihak bagi mengurangkan risiko bencana,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 2023, nilai kerugian akibat banjir adalah RM755.4 juta atau 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkurangan sebanyak RM271.1 juta berbanding RM1.03 bilion yang dicatatkan pada 2022 (0.06 peratus).
Bencana kali ini menyebabkan golongan petani kerugian berjuta-juta ringgit dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menjangka kerugian awal sebanyak RM9.4 juta selepas 1,609.76 hektar sawah ditenggelami banjir.
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) pula menjangka nilai kerugian dialami petani di Kedah mencecah kira-kira RM20 juta, susulan kira-kira 4,000 hektar sawah ditenggelami banjir, menyebabkan petani mengalami kerugian berganda selepas tidak dapat menuai hasil pada September juga disebabkan banjir.
Banjir gelombang pertama setakat ini mengorbankan sembilan jiwa dengan lima di Kelantan dan empat di Terengganu.
Banjir mula surut melegakan penduduk, namun mereka kembali resah dengan jangkaan gelombang kedua bermula 8 Disember ini. Sekali lagi, mereka perlu berpindah dan bakal berdepan kemusnahan harta benda.
Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir terutama di negeri-negeri yang terjejas sebelum ini.
Serentak itu, Perdana Menteri telah mengarahkan agensi berkaitan supaya bersiap sedia dan mengambil langkah waspada berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
“Setakat ini surut sedikit di kawasan Kelantan, Terengganu tapi naik di Pahang dan beberapa kawasan di Johor.
“Jadi kebimbangan ialah kemungkinan ada gelombang kedua banjir. Mudah-mudahan Insya-Allah kita dapat kawal,” katanya pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani Untuk Mangsa Banjir di Putrajaya.
Pada majlis itu Perdana Menteri menerima sumbangan sebanyak RM35.8 juta daripada 23 syarikat korporat khusus untuk meringankan beban mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.
Berdasarkan Portal Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) setakat pukul 4 petang semalam, Kelantan mencatatkan mangsa tertinggi dengan jumlah 40,143 orang melibatkan 12,938 keluarga dengan 91 PPS yang masih aktif di empat daerah.
Terengganu pula mencatatkan 10,870 mangsa melibatkan 2,732 keluarga dengan 41 PPS aktif di enam daerah.
Kedah mencatatkan 5,838 mangsa melibatkan 1,769 keluarga dengan 27 PPS aktif di tiga daerah manakala Johor mencatatkan 1,029 mangsa melibatkan 292 keluarga dengan 18 PPS aktif di dua daerah.
Perak pula mencatatkan negeri ketiga mangsa terendah iaitu 282 mangsa melibatkan 89 keluarga dengan enam PPS aktif di tiga daerah diikuti Melaka iaitu 172 mangsa melibatkan 44 keluarga dengan dua PPS aktif di satu daerah.
Pahang dengan mangsa terendah iaitu 55 orang melibatkan 11 keluarga dengan empat PPS aktif di dua daerah. – UTUSAN










