Kelantan tingkat penguatkuasaan cegah perlombongan haram REE

Kelantan tingkat penguatkuasaan cegah perlombongan haram REE

 MOHAMED FADHLI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan terus mempertingkat penguatkuasaan dan pemantauan dalam usaha mencegah aktiviti perlombongan haram bahan mineral unsur nadir bumi (REE) oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara itu susulan tangkapan berkaitan aktiviti perlombongan di beberapa kawasan di negeri ini.

“Pada Isnin lalu melalui Operasi Khazanah Khas 1/24, saya dimaklumkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berkait serbuan yang dilakukan di Hutan Simpan Kekal Lebir, Bukit Perlai, Gua Musang berkaitan perlombongan REE secara haram.

“Dalam serbuan itu, seramai 29 ditahan. Daripada jumlah itu, tujuh hingga sembilan merupakan penduduk tempatan dan selebihnya adalah warga asing,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohd. Fadzli memberitahu, sebuah jentolak, eskavator mini, kompresor besar dan dua kolah mengandungi bahan-bahan dipercayai REE turut dirampas.

Katanya, selain itu 140 guni REE, beg bercampur bahan kimia (15), alat ujian air makmal, kertas kerja kiraan dan buku rekod turut dirampas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan  Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Selain itu, PTG Kelantan turut melakukan siasatan mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral  2001 susulan aktiviti disyaki perlombongan haram yang dilakukan di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Mohamed Fadzli berkata, selain REE sumber mineral lain turut diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.

Katanya, semua mineral yang ada adalah hak kerajaan negeri dan penduduk Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan 55 individu ketika membongkar kegiatan perlombongan bahan mineral REE disyaki secara haram di Gua Musang, Kelantan sebelum bahan itu dikumpul serta diproses di Banting, Selangor untuk dieksport ke luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN