Kehilangan Batuan Puteh hendaklah diambil sebagai pengajaran - RCI

Kehilangan Batuan Puteh hendaklah diambil sebagai pengajaran – RCI

Pulau Batu Puteh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia boleh memfailkan semula Permohonan Tafsiran baharu pada bila-bila masa  berkaitan kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Perkara itu merupakan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang didedahkan kepada umum hari ini

Bagaimanapun, RCI tidak mencadang untuk memfailkan semula malah akan memulakan siasatan jenayah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad susulan keputusan Kabinet menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) mengenainya pada 2018.

Menurut laporan dikeluarkan hari ini, kehilangan hak kedaulatan Batu Puteh seperti yang diputuskan oleh ICJ pada 23 Mei 2008 hendaklah diambil sebagai suatu pengajaran.

Katanya ia bagi melihat segala kelemahan, ketidaktelitian dan sikap ambil mudah dalam isu isu yang melibatkan kedaulatan negara seperti yang berlaku dalamn kes tersebut tidak berulang. 

“Pengajaran juga harus diambil di mana sekeping surat pertanyaan oleh pihak luar serta jawapan yang diberikan secara bersurat boleh pada bila-bila masa digunakan sebagai bukti untuk pihak luar bagi menuntut hak dan kedaulatan ke atas wilayah negara. 

“Percakapan yang dikeluarkan secara tidak berhati-hati dan tidak bermaklumat boleh digunakan oleh pihak lawan dan memakan diri sendiri. 

“Setiap tindakan dan keputusan mengenai perkara dasar yang melibatkan kedaulatan dan kepentingan negara perlu dibuat dengan berhati-hati dan berpandukan undang-undang,” kata laporan berkenaan.

RCI juga mengesyorkan agar Jemaah Menteri selepas ini hendaklah mempertimbangkan segala keputusan berkenaan kedaulatan negara menerusi pembentangan Memorandum Jemaah Menteri dan bukannya dibincangkan di bawah tajuk hal-hal lain.

Katanya tindakan dan usaha untuk mendapatkan semula kedaulatan Batu Puteh melalui Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran tidak boleh dihadkan kepada beberapa individu tertentu atas alasan untuk menjaga kerahsiaan. 

“Sebagai panduan di masa hadapan, perkara-perkara penting seperti kedaulatan negara yang boleh menentukan hilang atau kekalnya sesuatu jajahan Malaysia hendaklah dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan semua Kementerian, Jabatan dan Agensi yang berkaitan. Kerahsiaan tidak boleh dijadikan asas untuk mengehadkan keanggotaan sesuatu pasukan,” katanya.

Tambah RCI, Majlis Keselamatan Negara perlu mengambil tanggungjawab penuh untuk menyelaras pendekatan yang terbaik berhubung isu kedaulatan negara serta menyemak dan memperkemaskan arahan serta prosedur sedia ada untuk dipatuhi bagi menangani isu-isu yang melibatkan kedaulatan negara.

“Kerajaan Negeri hendaklah dilibatkan dan dirunding bersama dalam hal-hal berkaitan kedaulatan sesuatu negeri atau perkara-perkara yang boleh menjejaskan kedaulatan wilayahnya seperti yang berlaku dalam kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. 

“Penglibatan tersebut adalah untuk membolehkan Kerajaan Negeri memberi sebarang bantuan, pandangan dan input yang diperlukan serta menyatakan pendirian Kerajaan Negeri terhadap sebarang isu yang berbangkit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN