‘Kami masih di Sumatera, mereka sudah di sempadan Thailand’

‘Kami masih di Sumatera, mereka sudah di sempadan Thailand’

Dua rakyat Indonesia, Dani (kanan) dan Hendi (empat dari kanan) bersama penduduk kampung ketika singgah di Lampung Tengah di Sumatera, Indonesia kelmarin. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Dua lelaki dari Cikarang Jawa Barat, Indonesia yang berjalan kaki ke Mekah tidak dapat bersama-sama menyertai dua rakyat Malaysia yang juga melakukan misi sama berikutan kekangan masa.

Dua lelaki dari negara jiran itu yang dikenali dengan nama Hendy dan Dani lebih awal memulakan perjalanan ke Mekah iaitu pada 12 November lalu dari negara mereka.

Menurut Hendy dan Dani, mereka tidak dapat menyertai dua rakyat Malaysia iaitu Mohamad Azizul Abdullah, 34, dan Mohamad Al-Bukhari Ellia, 26, kerana kedua-dua sahabat itu kini sudah sampai ke Kedah.

Katanya, mereka masih meneruskan perjalanan merentasi Sumatera menuju ke Batam dan akan melanjutkan perjalanan ke Singapura, Malaysia dan Thailand.

“Saudara Bukhari ada menghubungi kami baru-baru ini, Mereka mempelawa kami untuk bersama-sama dengan mereka berjalan kaki ke Mekah namun saya masih belum ada jawapan mengenai perkara itu.

“Ini disebabkan kekangan kewangan dan masa yang menyebabkan kami sukar untuk ‘mengejar’ mereka.

“Mereka sudah berada berhampiran sempadan Thailand sedangkan kami masih jauh, kami masih di Sumatera, sudah tentu sukar untuk kami berjumpa dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurutnya, ramai pihak yang mahu mereka bergabung dengan Mohamad Azizul dan Mohamad Al-Bukhari namun buat masa ini keadaan tidak mengizinkan.

“Namun jika dapat rezeki yang tidak disangka daripada Allah, kami mungkin dapat bertemu dengan mereka nanti,” katanya.

Sebelum ini, Mohamad Azizul dan Mohamad Al-Bukhari yang berjalan kaki ke Mekah untuk menunaikan haji tahun depan mempelawa Hendy dan Dani bersama-sama mereka untuk menjayakan misi tersebut.

Mohamad Azizul dan Mohamad Al-Bukhari mengetahui mengenai dua lelaki dari negara jiran itu juga berjalan kaki ke Mekah melalui media sosial.

Difahamkan, Hendy dan Dani juga mengambil keputusan yang sama seperti Mohamad Bukhari dan Mohamad Azizul iaitu untuk menaiki kapal terbang di Bangkok menuju ke India bagi mengelakkan laluan kawasan yang bergolak atas faktor keselamatan.

Dua sahabat dari Malaysia itu memulakan ekspedisi berjalan kaki ke Mekah dari kampung mereka di sini untuk menunaikan ibadah haji tahun depan.

Jarak perjalanan sejauh 10,000 kilometer dan mereka berjalan kaki 10 jam sehari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya