‘Kami diuji kerana mampu memikulnya’

‘Kami diuji kerana mampu memikulnya’

NUR Ain Fitriyah Ahmad Arsad (kanan) bersama dua adiknya kini bangkit selepas kehilangan ibu bapa ketika ditemui di Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tiga beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa mereka akibat kemalangan jalan raya, hampir dua tahun lalu berjaya bangkit daripada trauma dan kesedihan untuk meneruskan kehidupan.

Nur Ain Fitriyah Ahmad Arsad, 18, berkata, meskipun sukar melupakan tragedi itu, emosi dia dan dua adiknya semakin pulih dengan sokongan ahli keluarga terdekat.

Katanya, kehilangan ibu bapa mereka iaitu Ahmad Arsad Mamat, 51, dan Rozita Mamat, 41, dalam kemalangan di Kampung Merchang, Januari tahun lalu adalah detik paling menyedihkan buat mereka tiga beradik.

“Sebagai anak sulung, saya kuatkan semangat untuk dua adik, Muhammad Adami Najmudden, 14, dan Muhammad Adzli Abid Muayyad, 8, kerana percaya Allah SWT memberi ujian ini kerana kami mampu memikulnya.

“Memang tidak mudah, namun berkat sokongan ibu dan bapa saudara kedua-dua belah pihak, kami tiga beradik sentiasa dilimpahi kasih sayang untuk berjuang meneruskan kehidupan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Dalam kemalangan pada 20 Januari 2023, Rozita maut di lokasi kejadian, manakala Ahmad Arshad meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Merchang.

Tiga beradik itu pula dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana kecederaan parah yang dialami dan tidak berpeluang melihat ibu bapa mereka buat kali terakhir pada majlis pengebumian.

Nur Ain Fitriyah yang patah di kedua-dua pahanya diberikan cuti sakit hampir empat bulan, manakala Muhammad Adami Najmudden yang patah di tangan kiri, betis dan paha kiri mendapat cuti sakit selama tiga bulan.

Ditanya perkembangan terbaharu mereka tiga beradik, Nur Ain berkata, dia kini menyambung pengajian dalam semester dua Diploma Pengajian Halal Industri di Kolej Profesional Mara Bandar Melaka.

Katanya, Muhammad Adami pula belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Razali dan Muhammad Adzli Abid Muayyad kini di Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek, dekat sini.

“Alhamdulillah, saya memperoleh keputusan 7A 3B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu namun agak terkilan kerana tidak dapat berkongsi kejayaan itu dengan ibu dan ayah.

“Apa yang saya mampu lakukan ialah menziarahi pusara mereka setiap kali pulang ke kampung halaman bersama dua adik yang lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya