PUTRAJAYA: Kenaikan kadar premium insurans perubatan bagi tahun depan belum dimuktamadkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) kini sedang memuktamadkan perkara itu selepas perbincangan bagi menetapkan kenaikan premium itu dirunding semula.
“Saya dimaklumkan oleh Bank Negara mengenai perkara itu. Jadi, setakat ini proses itu masih dirunding semula,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar, Presint 14, di sini semalam.
Kelmarin, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying memaklumkan, Kementerian Kewangan dalam proses rundingan dengan pihak berkaitan berhubung kenaikan premium insurans perubatan antara 40 dan 70 peratus pada tahun depan.
Hui Ying dilaporkan berkata, BNM masih berunding bagi mengatasi isu berkenaan.
Sebelum ini, beberapa ahli Parlimen membangkitkan mengenai kenaikan premium insurans berkenaan yang disifatkan tidak munasabah dan membebankan rakyat.
Pada 28 November lalu, BNM mengarahkan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan ia lebih wajar.
Ia termasuk menguruskan kenaikan premium atau sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi takaful.
Bagaimanapun pada 3 Disember lalu, Persatuan Insurans Hayat Malaysia yang mewakili ITO telah mengumumkan bahawa kenaikan insurans akan dikekalkan.
Meskipun syarikat-syarikat insurans memberikan alasan kos perubatan di hospital-hospital swasta yang semakin mahal, ia masih disifatkan amat tidak wajar berikutan meletakkan beban kepada pengguna semata-mata.
Sebagai rekod, pengamal perubatan swasta mempunyai garis panduan dalam mengenakan yuran profesional, namun tidak melibatkan perkhidmatan dan bekalan hospital terdiri daripada barangan seperti pengimejan, ujian makmal, ubat-ubatan, perawatan dan peralatan perubatan seperti ventilator serta mesin dialisis.
Majoriti pengguna kad insurans perubatan meluahkan rasa tidak berpuas hati ekoran kenaikan kadar premium yang dikenakan antara 40 sehingga 70 peratus bermula tahun depan.
Kebanyakan mereka mempersoalkan kenaikan tersebut yang bukan hanya membebankan, malah disifatkan sebagai tidak munasabah.
Bagi pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Hamidi, setakat ini dia sudah menerima surat daripada syarikat insurans yang menyatakan kadar kenaikan berkenaan akan berkuat kuasa Februari tahun depan.
“Pada tahun ini syarikat berkenaan sudah pun menaikkan kadar polisi lebih RM40 dan untuk tahun depan, kadar tersebut naik sekali ganda lagi.
“Sebelum ini saya bayar sebanyak RM188.47 sebulan dan selepas ini saya perlu bayar pula sebanyak RM237.34 sedangkan pada tahun lalu berlaku lagi kenaikan, iaitu daripada RM157.69 kepada RM188.47.
“Persoalannya, mengapa kenaikan (polisi) berlaku setiap tahun? Perkara sebegini betul-betul membebankan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Hamidi berkata, kenaikan tersebut sangat ketara dan menimbulkan pelbagai persoalan.
“Ia bagaikan acara tahunan. Setiap kali minta penjelasan mereka akan kata ia disebabkan kenaikan kos rawatan. Apakah bukti yang mengatakan kos rawatan meningkat setiap tahun?
“Adakah kenaikan ini disebabkan perkhidmatan daripada hospital swasta yang kita sendiri pun tidak tahu apakah garis panduan ditetapkan untuk setiap pesakit? Adakah terdapat ‘pakatan’ antara syarikat insurans dan hospital swasta dalam hal ini?” soalnya. – UTUSAN










