KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa membuat keputusan berhubung isu Pulau Batu Puteh sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada Mei 2018.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, beliau dan anggota jemaah menteri lain hanya mengikut keputusan Dr Mahathir memandangkan sebahagian dari mereka pertama kali menjadi kerajaan.
Menurut beliau, jemaah menteri pada ketika itu hanya ‘mengesahkan’ keputusan Dr Mahathir yang dibuat lebih awal untuk menggugurkan dua permohonan undang-undang berkaitan Pulau Batu Puteh.
“Sudah tentu, secara jujur, bahawa ramai dalam jemaah Kabinet (ketika itu), ia adalah mesyuarat pertama buat kami.
“Kita pun tak tahu, apa itu Memorandum Jemaah Menteri, dan macam mana rupa kertas Kabinet. Selepas itu, kita tahu bahawa keputusan Kabinet perlu dibuat berdasarkan Memorandum Jemaah Menteri, dan ia melalui proses termasuk semua kementerian dan agensi berkaitan, untuk memberi maklum balas dan komen mereka.
“Selepas menyemak semula ulasan, hanya kita boleh membuat keputusan yang lebih bermaklumat. Mengimbas kembali, inilah situasinya ketika itu (berhubung isu Pulau Batu Puteh),” katanya kepada pemberita di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini.
Terdahulu, media melaporkan, Dr Mahathir mengakui malu dengan kenyataan dikeluarkan bekas tiga anggota Kabinetnya berhubung isu Pulau Batu Puteh.
Katanya, ketiga-tiga individu itu ternyata berbohong selepas mendakwa keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berhubung isu Pulau Batu Puteh dibuat tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri.
Tiga individu yang dirujuk Dr Mahathir adalah Anthony; bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Dalam pada itu, Anthony berkata, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mencerminkan keadaan sebenar dan apa yang berlaku ketika itu.
Oleh kerana itu, beliau menyarankan rakyat dan Dr Mahathir untuk membaca laporan penuh RCI tersebut memandangkan ia sudah menekankan bahawa kelemahan utama adalah proses membuat keputusan dan bagaimana ia perlu ditangani pada masa depan.
“Jadi saya cadangkan Dr Mahathir dan orang ramai hendaklah membaca keseluruhan laporan RCI untuk memahami keseluruhan kronologi dan latar belakang isu.
“Bagi perkara penting yang melibatkan kedaulatan negara, proses itu sepatutnya lebih teliti. Laporan RCI merumuskan bahawa isu penting seperti itu, melibatkan kedaulatan negara, sepatutnya melalui proses yang lebih teliti,” katanya.-UTUSAN