Isu Parallel Pathway: Pengamal perubatan terkesan akan dipertimbangkan semula - Utusan Malaysia

Isu Parallel Pathway: Pengamal perubatan terkesan akan dipertimbangkan semula

DR. ZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengamal-pengamal perubatan yang terkesan dalam isu pengiktirafan selepas menamatkan latihan kepakaran di dalam Program laluan selari atau Parallel Pathway akan dipertimbangkan semula selepas Akta Perubatan (Pindaan) 2024 dikuatkuasakan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, mereka yang sudah lengkap latihan kepakaran dan terjejas dalam isu pengiktirafan itu akan dipertimbangkan semula.

Kata beliau, pengamal perubatan tersebut akan dipertimbangkan untuk didaftarkan dalam Daftar Pakar di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MPM) selepas akta tersebut dikuatkuasakan.

“Pengamal perubatan yang telah lengkap latihan kepakaran dalam bidang Pembedahan Kardiotorasik, Pembedahan Plastik dan Perubatan Keluarga yang terjejas dalam isu pengiktirafan ini akan dipertimbangkan semula untuk didaftarkan MPM.

“(Iaitu) selepas akta ini dikuatkuasakan setelah pindaan Peraturan-Peraturan Perubatan (2017) dimuktamadkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang memintanya menyatakan kemajuan selepas pindaan ke atas Akta Perubatan yang mensahihkan pegawai perubatan yang mengikuti kursus dan sudah lulus program tersebut.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang dalam proses untuk membuat pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Perubatan 2017 selepas Akta Perubatan (Pindaan) 2024 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Beliau berkata, pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Perubatan 2017 yang berkaitan merupakan selaras dengan pindaan Akta Perubatan bagi memastikan ia dapat segera dikuatkuasakan.

Jelasnya, KKM sudah mengadakan bengkel penyediaan draf pindaan bersama-sama pemegang taruh dan pihak berkepentingan seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Perubatan Malaysia.

“Buat masa ini, draf tersebut telah diangkat kepada Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi dan dimuktamadkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN