Impian arwah Ibu selama 15 tahun tercapai

Impian arwah Ibu selama 15 tahun tercapai

GRADUAN Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi diraikan dalam Majlis Konvokesyen USIM, Nilai, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: “Berkat doa keluarga saya, akhirnya impian arwah ibu selama 15 tahun tercapai.”

Itu luahan penuh syukur graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Aminnudin Lokman Hakim, ketika diraikan pada Majlis Konvokesyen USIM Ke-22, semalam.  

Aminnudin yang menerima ijazah Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi, mendedikasikan kejayaan tersebut kepada arwah ibunya yang sentiasa menyokong perjalanan akademiknya sejak awal.

Walaupun arwah ibunya tidak dapat menyaksikan detik bersejarah itu, beliau percaya segala pencapaiannya hari ini adalah hasil doa dan pengorbanan seorang ibu.  

“Arwah ibu saya sering berpesan, ilmu adalah harta paling bernilai. Sebagai anak, saya hanya mahu memenuhi impiannya untuk melihat saya berjaya. Alhamdulillah, hari ini saya dapat menunaikan amanah tersebut,” katanya dengan nada sebak. 

Aminnudin, yang juga merupakan wartawan di Utusan Malaysia turut mengakui pengalaman bekerja di organisasi media terkemuka itu banyak membentuk keperibadiannya.  

“Saya berterima kasih kepada Utusan Malaysia kerana memberi peluang untuk saya menimba pengalaman. Bimbingan daripada wartawan berpengalaman telah membantu saya memahami selok-belok dunia kewar­tawanan,” tambahnya.  

Sementara itu, wartawan Utusan Malaysia, Fatin Norizati Mat Isa, yang juga merupakan graduan USIM, turut mendedikasikan kejayaannya pada hari ini adalah hasil usahanya yang tidak mengenal erti penat dan lelah.  

“Sebagai alumni USIM, saya amat berbangga dengan kejayaan yang dapat saya kecapi dan saya berharap dapat diinspirasikan oleh ramai pihak,” ujarnya.

Majlis Konvokesyen USIM ke-22 disempurnakan oleh Pro Canselor USIM, Yang Teramat Mulia Tunku Zain Al’ Abidin Ibni Tuanku Muhriz.  

Seramai 3,079 graduan daripada 11 fakulti diraikan dalam majlis yang berlangsung dari 2 hingga 6 Disember ini, bertempat di Dewan Tuanku Canselor, USIM.

Sementara itu, seorang graduan USIM dari Tumpat, Kelantan, Siti Nabila Ellany Mazlan, 23. hampir tidak dapat menghadiri majlis konvokesyennya semalam  selepas rumah keluarganya dinaiki air dalam kejadian banjir yang melanda negeri itu.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, dia pada mulanya sudah putus harapan untuk hadir.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN