Igauan tsunami masih terbayang walau sudah dua dekad berlalu

Igauan tsunami masih terbayang walau sudah dua dekad berlalu

IDRIS Hussin menunjukkan gambar keadaan rumahnya yang rosak dibadai tsunami dalam kejadian pada 26 Disember 2004 semasa ditemui di Kampung Kepala Jalan, Kuala Muda di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Walaupun sudah 20 tahun berlalu, bencana tsunami yang melanda pada 26 Disember 2004 masih segar dalam ingatan penduduk yang tinggal di Kampung Kepala Jalan, Kuala Muda di sini.

Keseluruhan 87 keluarga di situ menyifatkan tarikh tersebut adalah detik ngeri yang tidak mungkin dapat dilupakan dan berdoa tragedi itu tidak berulang.

Seorang penduduk, Idris Hussin, 71, berkata, sebelum kejadian itu, dia sedang bersiap untuk makan di tepi pantai berhadapan rumah jirannya yang mengadakan kenduri.

PENUH

“Kira-kira pukul 1.30 petang, saya dan ahli keluarga membawa makanan yang diambil dari rumah kenduri untuk dimakan di tepi pantai berikutan meja makan penuh dengan te­tamu yang datang.

“Selepas meletakkan makanan di atas tikar, kami dikejutkan dengan air laut tiba-tiba surut seolah-olah disedut ke tengah laut menyebabkan kawasan pesisir pantai kering,” katanya yang ditemui di rumah­nya semalam.

Terkejut dengan kejadian itu, dia kemudian melihat ke arah laut sebelum ternampak ombak besar menghampiri sepanjang pantai Kuala Muda.

“Dalam masa yang singkat sahaja, ombak disertai air berwarna hitam menghanyutkan makanan kami, saya terus azan dan belum sempat habis, ombak besar kedua menghampiri pantai.

“Bimbang sesuatu buruk kami bertempiaran lari dan naik ke tingkat atas rumah yang terletak berdekatan tepi pantai sambil berzikir memohon dijauhkan bala bencana,” katanya.

Semasa di dalam rumah, dia terdengar bunyi deruman kuat seolah-olah helikopter hendak mendarat sebelum rumahnya dipukul ombak besar menyebabkan dia dan ahli keluarganya dihanyutkan air lalu tersangkut di celah pokok nipah di belakang rumahnya.

Sementara itu, tsunami itu bukan sahaja memusnahkan rumah penduduk dan persekitaran kampung tetapi turut mengorbankan Norma Ahmad, kakak kepada seorang penduduk, Che Aman.

JEMPUTAN

Menurut Che Aman, 66, yang bekerja sebagai nelayan, semasa dibadai ombak besar itu, dia dalam perjalanan ke Kampung Masjid bersebelahan kampungnya untuk menghadiri jemputan kenduri.

“Sampai di simpang tiga, saya lihat deruman ombak besar menghampiri kediaman sepanjang Kuala Muda, saya cuba berpatah balik untuk memaklumkan ahli keluarga. Dalam perjalanan pulang saya mula dibadai ombak kecil menyebabkan terpaksa tinggalkan motosikal dan berlari ke rumah selepas melihat satu lagi ombak besar menghampiri kampung,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak sempat sampai ke rumah apabila ombak besar kali kedua menghanyutkannya mengakibatkan dia tersangkut di atas sebatang pokok mempelam.

“Saya memanggil isteri dan bertanyakan keselamatan enam anak yang berada bersamanya di bahagian atas rumah.

“Selepas mereka selamat saya turun dari pokok dan berlari ke rumah kakak namun dimaklumkan anaknya yang ibu mereka di­hanyutkan ombak ketika me­nunggu untuk solat zuhur,” katanya.

Dalam ketakutan, Che Aman mencari kakaknya namun gagal. Jenazah kemudian ditemukan di bawah timbunan kayu di belakang rumahnya oleh anggota bomba semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan enam jam kemudian.

“Ketika ditemui kakak masih memakai telekung dan mengalami kecederaan parah dalam kejadian yang tidak pernah diduga dan akan dikenang sepanjang hayat itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN