‘Hukuman sebat bukan untuk timbul derita atau memalukan’

‘Hukuman sebat bukan untuk timbul derita atau memalukan’

MASJID Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu menjadi lokasi hukuman sebat secara terbuka hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hukuman sebat yang dijalankan secara terbuka hari ini bukan bertujuan menimbulkan pende­ritaan atau memalukan semata-mata, tetapi ia adalah manifestasi komitmen Kerajaan Negeri Terengganu dalam menjunjung syariat Islam.

Ketua Dewan Ulama Pas Negeri Te­rengganu, Ismail Osman berkata, hukuman sebat itu yang berlangsung di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, selepas solat Jumaat bertujuan mendidik pelaku dan memberi peringatan kepada masyarakat.

‘Hukuman sebat bukan untuk timbul derita atau memalukan’

“Kami mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Mahkamah Syariah Terengganu atas keberanian dan komitmen dalam melaksanakan hukuman ini dengan penuh hikmah.

“Kami meletakkan harapan yang tinggi kepada institusi ini agar terus menjadi teras keadilan yang menjaga kesucian hukum Allah di negeri ini,” katanya semalam.

Terdahulu, media melaporkan, seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang bakal dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan mahkamah selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Ismail berkata, pelaksanaan hukuman itu mencerminkan komitmen berterusan Dewan Ulama Pas Negeri Terengganu terhadap usul pemerkasaan syariah yang diluluskan dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-70 lalu.

“Langkah ini memperkukuh kedudukan undang-undang syariah melalui penubuhan jawatankuasa dan sekretariat khusus untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

“Kami juga menyeru seluruh rakyat Terengganu untuk menerima pelaksanaan hukuman syariah ini dengan hati terbuka, sebagai langkah mendidik dan memelihara keharmonian masyarakat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi pula berkata, persiapan terakhir sedang dilaksanakan melibatkan pegawai

Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dan Masjid Al-Muktafi Billah Shah untuk memastikan kelancaran pelaksanaan hukuman tersebut, hari ini.

Dr. Muhammad Khalil berkata, selain meninjau lokasi, beliau berpeluang mendengar penerangan daripada pihak yang terlibat mengenai proses pelaksanaan hukuman sebatan berkenaan.

“Persiapan rapi yang dilakukan menunjukkan kesungguhan semua pihak untuk memastikan pelaksanaan hukuman itu berjalan lancar serta mematuhi syariat.

“Semoga pelaksanaan berlangsung dengan baik dan memberi manfaat serta kesedaran kepada masyarakat,” katanya di sini, semalam

Sementara itu, Kerajaan Negeri Kelantan membuat penelitian terperinci sebelum menjalankan hukuman sebat kepada pesalah syariah sebagaimana yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, pada sama pihaknya perlu mengambil pandangan ramai termasuk polis, Jabatan Penjara Malaysia dan hospital sebelum hukuman itu dijalankan.

“Bagaimanapun setakat ini ia belum dilaksanakan. Apapun hukuman ini tidak menimbulkan apa-apa polemik sebab ia termaktub dalam undang-undang syariah negeri.

“Lagipun pelaksanaan undang-undang syariah mengikut negeri masing-’masing,” katanya selepas merasmikan Penyerahan Sijil Halal Nasken International Sdn. Bhd. di Kota Seribong, Pasir Hor, di sini semalam.

Mohd. Asri berkata, enakmen berhubung hukuman sebat itu sudah lama diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN