KEMAMAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidupmenawarkan harga subsidi 10 hingga 30 peratus barangan keperluan harian yang dijual pada Program Jualan Rahmah Madani di kawasan terjejas banjir di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, program itu bertujuan meringankan beban mangsa banjir khususnya di Terengganu dan Kelantan dan akan diteruskan mengikut jadual di kawasan yang surut banjir.
“Kita tahu mereka yang hadapi bencana ini terkesan dan mereka tanggung kerugian, sekurang-kurangnya Program Jualan Rahmah Madani dapat meringankan beban ,” katanya selepas menyantuni pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkesan musibah banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Puteh, di sini, semalam.
Katanya, 1,369 Peruncit Terpilih Daerah dan 635 Pemborong Terpilih Daerah dibenarkan menambah had simpanan bekalan barangan keperluan harian 30 peratus.










