Harga subsidi 10 hingga 30 peratus di Jualan Rahmah Madani

Harga subsidi 10 hingga 30 peratus di Jualan Rahmah Madani

ARMIZAN Mohd. Ali (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan makanan kepada salah seorang calon SPM di SMK Ayer Puteh, Kemaman, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN:  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan harga subsidi 10 hingga 30 peratus barangan keperluan harian yang dijual pada Program Jualan Rahmah Madani di kawasan terjejas banjir di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, harga subsidi tersebut ditawarkan untuk meringankan beban mangsa banjir terlibat khususnya di Terengganu dan Kelantan.

Katanya, program jualan tersebut diteruskan mengikut jadual di kawasan yang surut banjir, malah  ditambah untuk memudahkan mangsa mendapatkan barangan keperluan harian.

“Kita tahu mereka yang hadapi bencana ini terkesan dan mereka tanggung kerugian, sekurang-kurangnya Program Jualan Rahmah Madani dapat meringankan beban mereka dengan harga subsidi di antara 10 hingga 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkesan musibah banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Puteh, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan makanan kepada 83 calon SPM yang menghuni asrama sekolah itu.

Selain itu, Armizan memberitahu, sebanyak 1,369  Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan 635 Pemborong Terpilih Daerah (DDW) di seluruh negara dibenarkan menambah had simpanan bekalan barangan keperluan harian sebanyak 30 peratus daripada had simpanan ditetapkan pada musim banjir ini.

Menurutnya, pendekatan tersebut diambil untuk memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi di kawasan terlibat bencana tersebut.

Katanya, tambahan had simpanan barangan berkenaan dibenarkan kepada semua DDR dan DDW termasuk di luar kawasan terlibat banjir.

“Tambahan had simpanan tersebut diberikan sehingga berakhir Monsun Timur Laut (MTL) pada Mac tahun depan,” ujarnya.

Armizan menambah, KPDN juga akan memastikan kesiapsiagaan penghantaran bekalan barangan keperluan dari luar kawasan dan negeri yang terlibat banjir.

“Ini termasuk penghantaran bekalan bahan api diesel dan petrol melalui kerjasama dengan Petronas,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN