Hanya 0.2% penuhi ikrar derma organ

Hanya 0.2% penuhi ikrar derma organ

organ
Hanya 0.24 peratus atau 948 daripada 393,951 pengikrar memenuhi persetujuan mendermakan organ mereka selepas kematian sejak tahun 1976. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya 0.24 peratus atau 948 daripada 393,951 pengikrar memenuhi persetujuan mendermakan organ mereka selepas kematian sejak tahun 1976 sedangkan jumlah senarai pesakit yang menunggu organ kini mencecah 10,297 orang.

Timbalan Pengarah Pusat Sumber Transplan Nasio­nal (NTRC),

DR. HASDY HARON

berkata,berikutan itu, pesakit yang memerlukan organ baharu terpaksa menunggu lebih lama dan terpaksa terus menanggung kesakitan yang dialami.

Malah lebih menyedihkan, katanya, ramai di antara pesakit yang sudah menunggu sehingga lebih 10 tahun meninggal dunia kerana gagal mendapatkan organ baharu dalam tempoh yang diperlukan.

Beliau berkata, majoriti yang menunggu organ baharu pula adalah terdiri daripada pesakit buah pinggang di mana satu daripada tujuh orang dewasa di negara ini menderita penyakit buah pinggang kronik yang menyumbang kepada kadar kematian tinggi.

“Negara masih bergelut dengan isu kekurangan penderma organ apabila statistik menunjukkan hanya 1.2 penderma organ selepas kematian dicatatkan bagi setiap sejuta penduduk.

“Ini jauh dari mencukupi untuk memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan pemindahan organ. Jumlah yang sedang menunggu organ baharu adalah seramai 10,297 orang, majoritinya adalah pesakit yang sedang menunggu buah pinggang baharu.

“Angka pesakit menunggu pemindahan organ melibatkan pesakit buah pinggang dewasa seramai 9,954 orang dan diikuti oleh 305 kanak-kanak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, tambah Dr. Hasdy, senarai menunggu turut melibatkan 19 pesakit jantung, tujuh kanak-kanak serta lima dewasa yang memerlukan pemindahan hati dan enam pesakit memerlukan pemindahan jantung serta paru-paru secara serentak.

Katanya, situasi itu menyebabkan ramai pesakit terpaksa menunggu dalam tempoh yang sangat lama sehingga 10 tahun untuk mendapatkan organ baharu, sekali gus menambah cabaran dalam sistem penjagaan kesihatan negara.

Terdahulu, Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini sebanyak 382,020 telah berikrar untuk menderma organ membabitkan jantung, hati dan paru-paru.

Bagaimanapun katanya, daripada jumlah tersebut, hanya 0.02 peratus yang berakhir dengan pendermaan.

“Walaupun ramai yang berikrar untuk menderma organ tetapi apabila tiba masanya, ada keluarga yang tidak bersetuju dan sebagainya.

“Justeru, kerjasama padu antara semua pihak perlu ada bagi memastikan kejayaan pemindahan organ,” katanya

Mengulas lanjut, Dr. Hasdy berkata, pesakit akan meninggal dunia sementara menunggu jika tiada transplant.

“Kita adakan program pendermaan organ ini, tujuannya untuk memberi peluang pesakit meneruskan kehidupan lebih baik.

“Polisi transplan kebangsaan secara dasarnya menyatakan bahawa setiap pesakit di Malaysia berhak mendapat peluang untuk transplan. Macam mana nak dapat peluang kalau tiada organ. Jadi orang perlu menderma.

“Pentingnya, sebab kita nak selamatkan nyawa orang. Kita nak beri mereka peluang kedua untuk hidup,” katanya.

Tambahnya, kadar kejayaan pindahan organ untuk kategori kadaverik (penderma meninggal dunia) sangat tinggi.

“Contohnya, buah pinggang sahaja mencatatkan lebih 90 peratus untuk tahun pertama survival manakala penderma masih hidup dalam 97 ke 98 peratus.

“Prinsip pembedahan pemindahan organ ini lagi cepat kita pindahkan atau transplan lagi bagus, ini kita panggil tempoh iskemik.

“Ketahanan organ jantung dan paru-paru paling singkat iaitu selama empat hingga enam jam. Hati pula lapan hingga 12 jam manakala buah pinggang 12 hingga 24 jam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN