KEMAMAN: Hakisan pantai yang berlaku di Pantai Kampung Geliga Baru hingga ke Pantai Teluk Mak Nik, di sini, semakin meruncing selepas gelombang pertama musim tengkujuh dengan lebih banyak rumah berisiko runtuh.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Geliga Baru, Wan Ahmad Darus Wan Musa berkata, hakisan pantai yang berlaku lebih 10 tahun lalu sudah meruntuhkan lebih 20 buah rumah penduduk di kampung itu.
“Setiap kali ombak besar berlaku, penduduk di tepi pantai dekat sini memang tidak lena tidur malam kerana takut rumah mereka dipukul ombak.
“Tahun ini, kalau ombak kuat berlaku, mungkin lima atau enam buah lagi rumah penduduk berisiko runtuh kerana jarak kediaman mereka sangat hampir dengan pantai, lebih kurang dua meter sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wan Ahmad Darus berkata, selain kediaman penduduk, sebuah taman asuhan bimbingan kanak-kanak (tabika) dan balai raya di kampung itu yang berada di pesisir pantai, hanya menunggu masa untuk menyembah bumi.
“Balairaya dan tabika itu juga telah banyak retak dan tidak selamat lagi untuk digunakan menyebabkan penduduk tiada lagi balai raya dan murid tabika terpaksa dipindahkan sejak awal tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, saban tahun penduduk membina benteng pasir sebagai usaha untuk mengurangkan hakisan dan menghalang ombak, namun usaha itu hanya sia-sia apabila benteng pasir itu turut ranap dipukul ombak.
“Selagi benteng pemecah ombak tidak dibina di kawasan ini, lebih banyak lagi kemusnahan harta benda penduduk dan harta awam akan berlaku. Banyak pokok juga tumbang, setiap kali ombak besar,” katanya.