PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempelawa syarikat tempatan dan antarabangsa bagi melakukan pembuktian konsep (POC) penggunaan teknologi terkini bagi memperkukuh keselamatan di sempadan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, POC itu penting bagi meningkatkan pengawasan sempadan Malaysia -Thailand dengan teknologi baharu serta terkini.
Beliau berkata, ia juga penting bagi mengawal dan menyekat kemasukan di sempadan negara terutama di ‘lorong tikus’.
“Kita akan tengok sehingga kita betul-betul puas hati, dalam erti kata mengawal keselamatan, sempadan termasuklah keselamatan ataupun potensi ancaman melibatkan jalan tikus,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Katanya, beliau mengakui jalan paling mudah mengawal sempadan negara adalah dengan membina tembok, namun ia membabitkan kos yang tinggi.
Justeru katanya, aspek kawalan sempadan juga telah berubah mengikut zaman dan kecenderungan ketika ini ialah memanfaatkan teknologi terkini.
Saifuddin semalam mendedahkan sejumlah 281 lokasi lorong tikus dikenal pasti dalam kawasan tanggungjawab Pasukan Gerakan Am (PGA) yang digunakan bagi aktiviti jenayah rentas sempadan.
Daripada jumlah itu, 154 berada di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, dengan Kelantan merekodkan jumlah tertinggi membabitkan 128 lorong tikus.
Jelas Saifuddin lagi, berdasarkan kajian PGA berkaitan lorong tikus, persempadanan Malaysia (Kelantan) dan Thailand (Narathiwat) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 128 lorong tikus yang meliputi 46 peratus bagi keseluruhan kajian.
Selain Kelantan, pecahan lorong tikus mengikut negeri adalah lapan Perlis, diikuti Kedah (18), Selangor (12), Johor (27), Sarawak (38) dan Sabah (50).-UTUSAN