SEREMBAN: Pihak berkuasa digesa mengambil tegas membabitkan pengusaha van sekolah tidak berdaftar serta pemilik kenderaan persendirian yang menawarkan khidmat menghantar dan mengambil murid sekolah.
Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd. Rofik Mohd. Yusof menegaskan, isu ‘prebet sapu’ dan pengusaha van sekolah haram bukan baharu berlaku namun sehingga kini ia masih tidak dapat diselesaikan.
‘Isu van sekolah haram ini sudah berlarutan lama namun tiada tindakan penguatkuasaan tegas diambil bagi membanterasnya.
“Ini tidak adil kerana kami berdaftar, mempunyai lesen dan insurans selain berdaftar sebagai kenderaan pengangkutan awam dan perdagangan. Berbanding mereka yang menjadikan kenderaan persendirian sebagai pengangutan awam.
“Saya rasa tindakan memberikan kompaun sudah tidak mencukupi untuk membanterasnya, mungkin kerajaan boleh mengeluarkan tindakan lebih tegas iaitu melupuskan kenderaan yang disalahguna ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung GPBSM Kali Ke-13 di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan mengenai penggunaan perkhidmatan van dan bas sekolah melalui kenderaan persendirian yang dilihat semakin berleluasa tanpa ada penguatkuasaan tegas sekali gus meletakkan nyawa pelajar dalam risiko bahaya.
Kebanyakan mereka yang menawarkan khidmat ‘prebet sapu’ itu beroperasi secara haram tanpa permit sah dan tiada Lesen Pengangkutan Awam (PSV).
Malah terdapat kemungkinan kenderaan tersebut telah tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau pemandu tidak mempunyai lesen dan ada antara mereka memandu secara berbahaya kerana ingin mengejar ‘trip’ mengambil serta menghantar pelajar sekolah.
Ia melahirkan kebimbangan ibu bapa terhadap perkhidmatan ini, namun mereka tidak mempunyai pilihan kerana perkhidmatan van dan bas sekolah berlesen sangat terhad.
Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, walaupun dalam keadaan kekangan tenaga kerja dan masa, pihaknya tidak boleh mengabaikan isu berkaitan van sekolah haram yang turut disifatkan beliau sebagai berleluasa.
“Ia bukan sahaja memberikan kesan kepada keselamatan pelajar malah menjejaskan reputasi dalam industri pengangkutan sekolah.
“Sebagai pengusaha bas sekolah yang sah perlulah terus berusaha untuk meningkatkan profesionalisme, beri contoh yang baik bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan berdaftar, selamat dan memenuhi piawaian ditetapkan,” katanya.