KUALA LUMPUR: Dunia hiburan tanah air kehilangan penyanyi lagu-lagu tradisional, Aspalela Abdulah yang meninggal dunia semalam dan pelakon, Johan Abdullah yang menghembuskan terakhir malam kelmarin.
Aspalela, 79, yang terkenal dengan lagu Payung Mahkota disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 10 pagi.
Menurut cucunya, Puteri Wan Nur Izzati Azhari, Allahyarham yang bakal genap usianya 80 tahun pada 30 Januari depan dikatakan telah jatuh dalam bilik air di kediamannya di Taman Melati di sini.
Katanya, dia dan ahli keluarga menyedari arwah terjatuh semasa bangun menunaikan solat subuh.
“Sebaik sahaja melihat keadaan nenek, kami segera menghubungi ambulans dan membawanya ke HKL namun, doktor memaklumkan nenek meninggal dunia sekitar jam 10 pagi,” katanya.
Puteri Wan Nur Izzati berkata, Allahyarham tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan yang serius, sebaliknya,hanya masalah darah tinggi dan kolestrol.
Pernah meraih juara Bintang Radio 1968, Allahyarham Aspalela merupakan penyanyi lagu-lagu Melayu asli yang sangat disegani ramai dan pernah merakamkan lima buah album.
Allahyarham Aspalela menikahi bintang filem terkenal, Raja Ismail Raja Saat dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Selepas tidak lagi aktif menyanyi, Allahyarham Aspalela memberi tumpuan pada aktiviti marhaban dan bacaan Yasin bersama Kumpulan Artis Wanita Malaysia (KAWAN).

Sementara itu di Seremban, Johan, 76, yang kerap memegang watak individu berbangsa Inggeris dalam filem dan drama tempatan, meninggal dunia kira-kira pukul 7.20 malam Sabtu lalu.
Isteri Allahyarham, Sarepah Meriam Aboo, 51, berkata, suaminya itu meninggal dunia ketika dirawat di zon merah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) selepas dibawa dari rumah mereka di Taman Mantau Indah di sini kerana mengadu kesukaran untuk bernafas sejak petang.
“Dari pukul 3 petang, nafasnya terasa pendek dan tersekat-sekat, kemudian jiran membantu dengan menelefon ambulans untuk ke hospital.
“Sebelum itu, keadaan dia okay sahaja, boleh duduk dan minum walaupun badan terketar-ketar. Julai lalu, arwah ada mendapat rawatan dan dimasukkan ke HTJS selama 12 hari akibat keradangan usus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pada 2021, akhbar ini melaporkan keadaan Johan yang menderita penyakit angin ahmar dan parkinson dan akibatnya pergerakan arwah yang berasal dari Christchurch, New Zealand juga terbatas dan terpaksa banyak bergantung kepada bantuan isterinya itu.