KUANTAN: Lazimnya musim Monsun Timur Laut (MTL) adalah waktu rehat buat nelayan kerana tidak dapat turun ke laut namun ia bukan alasan bagi dua beradik untuk berpeluk tubuh.
Nelayan pantai, Mohd. Shafiq Qayyum Maznan, 35, dan adiknya, Muhammad Hafiz, 32, memanfaatkan masa yang terluang dengan membuat bubu baharu.
Mohd. Shafiq Qayyum yang menjadi nelayan pantai lebih lapan tahun lalu berkata, dia sudah sinonim dengan MTL yang melanda Laut China Selatan setiap tahun.
“Bagi saya dan adik, bila tiba musim MTL kami melakukan aktiviti lain seperti membaiki peralatan yang rosak atau membuat bubu. Kadangkala kami menjala di tepi pantai.
“Memang kami manfaatkan ‘cuti’ musim MTL ini sebaiknya. Kami tidak akan duduk sahaja sebaliknya tetap cari rezeki kerana laut sumber pendapatan utama kami,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Dalam pada itu, dia mengakui resah setiap kali bermulanya musim tengkujuh namun nelayan sepertinya tiada pilihan selain terpaksa melalui tempoh getir itu dengan 1,001 kesulitan.
“Saya dan adik bergantung sepenuhnya kepada laut untuk mencari rezeki. Hendak buat kerja lain tak pandai dan tidak minat kerja makan gaji.
“Apabila keadaan mengizinkan saya dan adik tetap akan turun ke laut dengan pelbagai pertimbangan untuk cari wang belanja. Jika tidak boleh kami akan menjala tepi pantai,” katanya