KUANTAN: “Kami hanya mampu berdoa ke hadrat Allah SWT agar Fatin disatukan dengan keluarganya ‘di sana’.
Demikian kata nenek mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman, Terengganu Julai tahun lalu yang jasadnya belum ditemukan.
Meskipun terkilan jenazah Putri Nor Fatin Karim, 14, atau mesra dipanggil Fatin tidak dapat disemadikan bersama lapan ahli keluarganya yang lain, namun Halimah Kasim, 64, akur dan reda menerima ketentuan Ilahi.
Katanya, berat untuk menerima hakikat berkenaan, namun dia sekeluarga perlu berlapang dada apabila jasad Fatin belum ditemukan walaupun lebih setahun kejadian meruntun hati itu berlaku.
“Kalau ingat kejadian itu, memang sampai sekarang rasa sebak dan menangis. Teringat Fatin yang belum ditemukan.
“Tetapi kami semua kena terima kenyataan dan hanya mampu berdoa agar arwah Fatin dapat bersama keluarganya di alam sana walaupun tidak dapat disemadikan bersama di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia ketika di rumahnya di Felda Lepar Hilir 3 di sini.
Dalam kejadian pada 2 Julai 2023, sembilan sekeluarga terkorban selepas dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Mawar.
Selain Fatin, lapan ahli keluarga yang lain ialah Karim Abdullah, 39 (bapa); Azizah, 40, (ibu); Putri Balqis Izzati, 18; Putri Alleya Maisarah, 16; Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Putri Nurerina Natasya, 10; Muhammad Haziq Ziqree, 6; dan Putri Aryana Umaira, 4, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3.
Seorang lelaki yang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati, Muhammad Fikri Saliman, 24, dikebumikan di kampung halamannya di Batu Pahat, Johor.
Halimah berkata, sehingga kini dia masih lagi trauma apabila mendengar berita berkaitan kejadian kepala air.
“Kebelakangan ini saya dengar banyak kejadian kepala air berlaku dan setiap kali keluar berita di televisyen, saya trauma mendengar perkataan kepala air ini. Kalau ada yang bercerita tentang itu, saya tidak mahu dengar,” ujarnya yang mengalirkan air mata.
Katanya, sehingga kini juga dia enggan menyertai apa sahaja aktiviti perkelahan bersama keluarga selain mengingatkan kepada ahli keluarganya untuk sentiasa berhati-hati setiap kali hendak melakukan aktiviti di sungai mahupun pantai.
“Kejadian yang berlaku memang di luar jangka. Tambahan dengan keadaan cuaca sekarang, lagi bahaya untuk pergi ke tempat perkelahan di sungai atau di pantai. Saya memang selalu ingatkan anak dan cucu saya untuk berhati-hati. Saya tidaklah menghalang cuma saya tidak mahu kejadian sama berulang.
“Masih teringat saat polis datang ke rumah memaklumkan kejadian itu dan jeritan anak saya memaklumkan kak Endut (gelaran buat arwah Azizah) sudah tiada,” katanya.











