Bukan soal budak nakal tetapi mahu penjelasan - Awang Hashim

Bukan soal budak nakal tetapi mahu penjelasan – Awang Hashim

Datuk Awang Hashim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen kontroversi, Datuk Awang Hashim terpaksa akur pada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang menggantungnya selama 10 hari bermula 5 Disember lalu.

Katanya, beliau tiada pilihan selain perlu mematuhi keputusan yang dibuat Speaker tanpa sebarang bantahan kerana ia adalah peraturan yang sememangnya ditetapkan oleh Dewan Rakyat.

“Setuju atau tidak, kita tiada pilihan apabila Speaker sudah buat keputusan kerana saya tahu keputusan beliau tidak boleh dibantah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin Johari menggantung Ahli Parlimen Pendang itu berikutan dua kesalahan yang dilakukan iaitu tuduhannya terhadap pegawai pemimpin DAP yang dikatakan menyimpan wang berjumlah RM97 juta di rumah susulan penemuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tuduhannya terhadap Johari menerusi aplikasi TikTok.

Johari sebelum ini berkata, beliau sudah mengemukakan surat kepada Awang pada 22 Julai lalu supaya menarik balik ucapan berkenaan dan membuat permohonan maaf, tetapi sehingga semalam belum ada tindakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Awang turut berkata, beliau sering menjadi sasaran ahli Parlimen kerajaan kerana mereka tidak selesa dengan tindakannya yang sering mempersoal langkah kerajaan dalam sesuatu perkara.

Katanya lagi, tindakan beliau di dalam Dewan Rakyat itu bukan sama sekali atas arahan parti, sebaliknya itu adalah karakter beliau sebagai pemimpin yang dipilih rakyat.

“Saya hanya inginkan penjelasan daripada siasatan yang dijalankan oleh kerajaan dan tindakan saya yang dilihat kontroversi itu bukan arahan mana-mana pimpinan di barisan pembangkang, itu memang diri saya sendiri.

“Sebab saya yang ingin tahu, jadi saya bertanya kepada menteri secara terus. Ini bukan isu budak nakal atau sebagainya. Saya juga ingin menyokong tindakan kerajaan yang berusaha untuk memerangi rasuah dan tata kelola, sebab itu saya ingin tahu siasatan yang dijalankan itu sudah sampai di tahap mana, itu sahaja,” jelasnya.

Awang sebelum ini dilihat sebagai antara ahli Parlimen yang sering mendapat perhatian berikutan tindakan beliau itu sendiri, antaranya baru-baru ini dalam pantunnya menyebut DAP sebagai parti tanpa integriti sekali gus mengundang kekecohan Sidang Dewan Rakyat.

Beliau juga di antara ahli parlimen kontroversi selain wakil rakyat lain yang sentiasa menjadi sebutan masyarakat, termasuklah Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.

Namun demikian, Awang berkata, beliau berbeza dengan ahli Parlimen kerajaan lain yang yang disifatkan sebagai ‘pembodek’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN