Bersatu tidak patut bolot semua jawatan penting

Bersatu tidak patut bolot semua jawatan penting

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jawatan-jawatan utama dalam Perikatan Nasional (PN) tidak sepatutnya hanya dikuasai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga me­minggirkan parti lain terutama Pas dalam gabungan berkenaan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin secara terbuka menegaskan, meskipun pimpinan Pas tidak banyak bersuara dalam isu tersebut demi menjaga hubungan, namun Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN sepatutnya lebih adil dalam menentukan kedudukan dalam gabungan secara lebih itu.

Justeru, beliau menyarankan supaya rundingan semula dilakukan dalam menentukan jawatan dalam gabungan tersebut.

MENGUASAI

Katanya, secara asas, Pas yang memiliki bilangan kerusi terba­nyak di Parlimen dan me­nguasai empat negeri tidak sepatutnya tidak mendapat tempat dalam kepimpinan tertinggi PN.

“Tidak sepatutnya kesemua jawatan penting diambil Bersatu, perlu ambil kira juga Pas. Saya rasa walaupun pimpinan Pas tidak bersuara dalam soal ini, namun kena faham sendirilah.

“Sepatutnya rundingan se­mula dengan sekurang-kurang­nya jawatan Timbalan dan Setiausaha Agung PN diberikan kepada Pas. Kita kuasai empat negeri, bilangan ahli Parlimen paling ramai namun diketepikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada 9 Disember lalu mengesahkan pelantikan enam jawatan penting yang ke­semuanya menjadi milik Bersatu.

Ia melibatkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung, Ketua Penerangan pula Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita.

Bersatu juga menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi PN manakala Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) PN.

PROTES

Peletakan jawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mohktar sebagai Bendahari Agung PN sebelum ini dilihat seolah-olah memberi gambaran protes Pas selepas Bersatu dilihat terus menguasai jawatan utama gabungan berkenaan.

Di Parlimen, Pas mempunyai 43 kerusi iaitu bilangan tertinggi dalam sejarah 72 tahun penubuhan parti itu.

Di peringkat negeri pula, Pas menguasai empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan yang menyaksikan kesemua negeri itu ditadbir Menteri Besar dari parti itu.

Pas juga cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri tahun lalu apabila merekodkan kemena­ngan di 105 daripada keseluruhan 126 kerusi ditandingi mereka.

Tambah Hashim, dalam soal peletakan jawatan Ahmad Samsuri sebagai Bendahari PN, Bersatu perlu faham-faham sendiri mengapa tindakan tersebut diambil.

“Memang diakui dalam perlembagaan (PN) kuasa penuh melantik di tangan pengerusi namun perlu bertolak ansur juga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN