Bela diri Bung Mokhtar, Zizie Izette bermula April 2025

Bela diri Bung Mokhtar, Zizie Izette bermula April 2025

BUNG Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Ezette ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini semalam menetapkan tujuh hari bagi prosiding bela diri Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd, sembilan tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad menetapkan perbicaraan peringkat bela diri itu bermula 9 hingga 11 April, 14-15 April dan 5 hingga 6 Mei 2025.

Terdahulu, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadly Mohd. Zamry dan Low Chin How memohon mahkamah menetapkan tarikh bicara dengan syarat jaminan sama seperti seperti sebelum ini.

Pada prosiding terdahulu, kedua-dua tertuduh dikenakan jaminan masing-masing sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa bagi kedua-dua tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah. 

“Dengan mengambil kira jumlah suapan yang diterima bagi enam pertuduhan lebih 2.8 juta yg diterima oleh kedua-dua tertuduh, maka jumlah jaminan yang dikenakan ke atas setiap tertuduh adalah wajar dan munasabah.

“Memandangkan prima facie sebelum ini telah diputuskan dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan jelas menunjukkan risiko, pihak pendakwaan memohon passport bagi kedua-dua tertuduh perlu disimpan oleh pihak mahkamah dan ia bukan satu perkara yang janggal dan tidak adil.

“Kedua-dua tertuduh boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pasport kepada pihak mahkamah sekiranya perlu ke luar negara,” kata pihak pendakwaan.

Peguam bela, Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette dan peguam bela Ashok Athimulan yang mewakili Bung Mokhtar namun membantah cadangan pihak pendakwaan berkenaan pasport kedua-dua tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu passport bagi kedua-dua tertuduh perlu diserahkan kepada pihak mahkamah. 

Pada 18 November lalu, Bung Moktar dan Zizie Izette diperintah membela diri oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd.

Pada 7 September 2023, Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya dilepaskan dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan bela diri oleh Mahkamah Sesyen pada 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN