BUKIT MERTAJAM: Seorang bayi lelaki berusia sebulan memerlukan bantuan dana berjumlah RM105,000 bagi menjalani pembedahan akibat penyakit jantung berlubang.
Sayf Naufal Muhammad Syamil yang merupakan pasangan kembar tidak seiras dengan seorang bayi perempuan lahir pada 28 Oktober lalu menerusi pembedahan dan dibenarkan pulang ke rumah selepas hari ketiga kelahiran.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, selepas 10 hari dilahirkan, Sayf Naufal yang lahir dengan berat 3.06 kilogram (kg), mengalami demam kuning dan sesak nafas sebelum dikejarkan ke hospital.
“Seluruh badannya ketika itu sejuk dan sianosis (kebiruan), manakala adik perempuan kembarnya yang lahir dengan berat 2.54 kg pula tiada sebarang masalah.
“Selain kecacatan jantung kompleks, Sayf Naufal juga mengalami ‘distal aortic arch dysplasia’, ‘coarctation of the aorta’ (CoA), ‘patent ductus arteriosus’ (PDA), ‘ventricular septal defect’ (VSD) dan ‘atrial septal defect’ (ASD),” katanya di sini, hari ini.
Menurut Sui Hau, bayi malang itu terpaksa bergantung kepada alat bantuan oksigen di hospital sehingga sekarang dan perlu menjalani pembedahan jantung dengan segera.
Sui Hau menjelaskan, bagaimanapun, ibu bapa bayi tersebut berdepan masalah apabila hanya mampu mengeluarkan RM1,000 bagi pembedahan tersebut dan telah tampil ke pajabat badan amal itu bagi memohon dana.
“Kita akan membantu mengumpul sebanyak RM105,000 itu kerana jika pembedahan ditangguhkan, bayi akan mudah terdedah kepada jangkitan kuman dan komplikasi sehingga boleh sebabkan kematian,” katanya yang memaklumkan, bayi tersebut perlu menjalani dua pembedahan dijadualkan pada 10 dan 12 Disember ini.
Tambah beliau, bapa Sayf Naufal, Muhammad Syamil Ridzwan, 30, bekerja sebagai kakitangan khidmat pelanggan di sebuah agensi dan ibunya, Fatin Nadhirah Azizan, 30, seorang penjawat awam.
“Pasangan dari Alor Setar, Kedah ini yang mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun turut berdepan kesukaran kerana kawasan rumah sedang dilanda banjir,” katanya.
Beliau memberitahu, orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3193433435 ) atau melayari onehopecharity.org.
Mereka juga boleh menghubungi talian hotline, 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192, 018-911 4192 untuk maklumat lanjut, katanya. – UTUSAN